+603 2603 7700
EN BM

3,726 Pelanggan SME Bank Terima Kemudahan Moratorium SRP PEMULIH Dengan Nilai Pembiayaan RM5.4 Bilion

KUALA LUMPUR : 15 Julai 2021

SME Bank menawarkan kemudahan moratorium sehingga enam (6) bulan dan lanjutan tempoh bayaran balik sehingga 12 bulan berkuat kuasa Julai 2021 yang akan membantu 3,726 pelanggannya dengan melibatkan jumlah pembiayaan bernilai RM5.4 bilion melalui Program SRP PEMULIH (SRP- SME Relief Program).

Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, “SRP PEMULIH yang disediakan oleh SME Bank bukan sahaja untuk moratorium, malah menawarkan lanjutan tempoh pembiayaan untuk membolehkan pelanggan mengurus aliran tunai yang lebih efektif.”

Aria menambah, “Sebelum ini, SME Bank telah menawarkan pakej SRP 1.0 dan 2.0 yang bertujuan memulihkan kembali perniagaan yang terjejas. Untuk SRP 1.0, SME Bank telah membantu seramai 3,084 orang pelanggan dengan nilai pembiayaan RM4.1 bilion. Manakala bagi SRP 2.0 yang berbentuk bantuan bersasar, 311 orang pelanggan dengan nilai pembiayaan bernilai lebih dan RM248 juta telah mendapat manfaat daripada bantuan ini."

"Sejak dari awal pandemik serta pengenalan SRP 1.0 sehingga SRP PEMULIH, SME Bank telah bergerak secara proaktif di dalam membantu usahawan PKS. Pegawai Perhubungan Bank telah menghubungi semua pelanggan untuk memahami masalah yang dihadapi dan bagaimana cara terbaik untuk mengatasinya. Ini ditambah dengan proses yang dipermudahkan iaitu pelanggan yang memenuhi kriteria kelayakan tidak perlu memohon sebaliknya ditawarkan pilihan mengikut keperluan mereka," kata Aria.

Sektor-sektor yang mendapat perhatian SME Bank ialah sektor pelancongan dan pengangkutan penumpang yang merupakan sektor paling teruk terjejas akibat pandemik ini. Sektor lain yang turut menerima bantuan secara keseluruhannya termasuk sektor perkhidmatan, peruncitan serta pembinaan.

Sementara itu, untuk terus membantu usahawan PKS menangani masalah pembiayaan dan perniagaan yang sedang mereka alami, SME Bank akan mengadakan program SME Bank XCESS 2021 secara maya pada 26 Julai 2021. Program berbentuk padanan perniagaan ini akan menghimpunkan 20 syarikat anchor, 9 syarikat ekuiti persendirian, agensi kerajaan, GLC dan pihak swasta yang akan menawarkan bantuan secara terus kepada usahawan yang hadir. Pendaftaran untuk menyertai SME Bank XCESS 2021 boleh dibuat di www.smebankxcesss2021.net. Maklumat juga boleh didapati dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank di 03- 26037700 atau layari laman web dan media sosial rasmi SME Bank.