+603 2603 7700
EN BM

Akses kepada Pembiayaan dan Pembangunan PKS Melalui Program Let’s XCESS SME Bank 2021 Peringkat Wilayah

KUALA LUMPUR : 23 September 2021

Seiring dengan peningkatan kegiatan ekonomi masa kini, SME Bank meneruskan program Let’s XCESS SME Bank 2021 yang memberi akses kepada pembiayaan dan pembangunan PKS di enam buah wilayah seluruh negara bagi memastikan seramai mungkin usahawan PKS menerima bantuan dan tidak ketinggalan dalam trend pemulihan ekonomi negara ketika ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Haji Omar berkata, “Pemulihan ekonomi yang dijangka berterusan sehingga tahun 2022 ialah petanda baik untuk sektor PKS dan langkah yang diambil oleh SME Bank dalam menganjurkan program libat urus Let’s XCESS 2021 dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang lain, membolehkan usahawan PKS bingkas bangkit dalam membangunkan semula perniagaan masing-masing dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.”

Tambah Tan Sri Noh, “Bagi pihak MEDAC pula, fokus kami untuk ialah untuk menggariskan dasar, inisiatif dan strategi pembangunan usahawan yang lebih berkesan agar semua pihak yang terlibat untuk memajukan PKS negara dapat berfungsi dengan lebih tersusun dan efektif.”

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, “Fokus utama akan diberikan kepada usaha menyelesaikan masalah akses kepada pembiayaan yang sering kali dihadapi oleh usahawan PKS pada masa kini.

Selain itu, tumpuan juga akan diberikan kepada program pembangunan usahawan melalui anak syarikat milik penuh SME Bank iaitu Centre for Entrepreneur Development and Research atau CEDAR.”

Aria menambah, “Untuk memastikan program Let’s XCESS 2021 kali ini bersifat menyeluruh, SME Bank juga menampilkan syarikat-syarikat besar atau anchor seperti Prowheels Distributor, Petro Teguh, Bateriku.com, Ayamas dan Chatime yang akan menawarkan peluang kepada usahawan sebagai francaisi atau peserta program perniagaan mereka. Syarikat-syarikat ini juga menyertai Program Pembiayaan Umbrella SME Bank yang akan membantu usahawan mempelbagaikan perniagaan dan memberikan bimbingan bagaimana untuk memastikan perniagaan mereka kekal bersaing secara sihat dengan menggunakan SOP yang lengkap.”

Program jelajah Let’s XCESS 2021 secara maya ini akan diteruskan ke Wilayah Pantai Timur pada 7 Oktober, Wilayah Malaysia Timur (Sabah & Sarawak) pada 21 Oktober, Wilayah Utara pada 11 November, Wilayah Tengah pada 23 November dan yang terakhir di Wilayah Selatan pada 9 Disember. Usahawan PKS yang berminat untuk mendapatkan maklumat tentang pembiayaan dan khidmat nasihat perniagaan di mana-mana sesi Let’s XCESS 2021 boleh mendaftar di portal www.smebank.com.my/en/lets-xcess2021.

Program Let’s XCESS SME Bank 2021 ini merupakan kesinambungan program peringkat nasional SME Bank XCESS 2021, yang dianjurkan secara atas talian pada bulan Julai yang lalu. Sesi libat urus tersebut adalah flagship program yang dianjurkan oleh SME Bank dalam memenuhi peranannya sebagai sebuah DFI yang bukan sahaja menyediakan kemudahan pembiayaan tetapi juga melaksanakan pelbagai inisiatif yang menjangkaui pembiayaan (beyond financing). Penganjuran program SME Bank XCESS tersebut telah berjaya menarik lebih 6,000 orang pengunjung dan telah memanfaatkan lebih 1,600 PKS yang menyertai sesi padanan perniagaan, networking dan perkongsian ilmu.

Majlis pelancaran Program SME Bank Let’s XCESS 2021 disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Haji Omar, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Muslimin Yahaya, Dato’ Seri Nazir Ariff, Pengerusi SME Bank dan Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank.