SME Bank Terima Peruntukan RM1.7 Bilion untuk Memantapkan Bumiputera, Halal, Industry4wrd, Eksport dan Perusahaan Sosial untuk PMKS
KUALA LUMPUR: 24 Oktober 2023 – SME Bank akan terus melaksanakan mandatnya melalui peruntukan RM1.7 bilion daripada pengumuman Belanjawan 2024 baru-baru ini, untuk inisiatif baharu dan sedia ada yang terdiri daripada kemudahan pembiayaan dan program pembangunan kapasiti.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick menyatakan, “Kerajaan mengharapkan dana khusus ini digunakan dengan cekap bagi mewujudkan impak perubahan yang ketara kepada landskap PMKS. Oleh itu, Kementerian menggesa semua agensi berkaitan untuk bekerjasama bagi memudahkan akses kepada pembiayaan dan program Pembangunan keupayaan untuk PMKS layak yang memenuhi kriteria program.”
Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, "SME Bank mengalu-alukan Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, yang akan membolehkan kami mengukuhkan fokus untuk menyalurkan dana kepada usahawan PMKS yang layak. SME Bank telah mengenal pasti tiga aspirasi iaitu transformasi teknologi Industry4WRD, pemerkasaan PMKS dalam industri halal, dan pengembangan eksport serantau. Aspirasi ini selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang bertujuan untuk membangunkan kapasiti perindustrian Malaysia agar lebih berdaya tahan untuk jangka panjang dan mencapai pertumbuhan yang mampan.”
SME Bank akan menawarkan penyelesaian pembiayaan untuk modal kerja dan pemerolehan aset kepada PMKS yang ingin mengadaptasi transformasi teknologi di bawah Industry4WRD. Inisiatif ini termasuk program pembinaan kapasiti yang tertumpu pada memanfaatkan Kecedasan Buatan (AI) untuk meningkatkan kualiti khidmat pelanggan, usaha pemasaran dan jualan, serta memacu pertumbuhan secara strategik, dengan penekanan khusus kepada PMKS. Ini akan dicapai melalui peruntukan di bawah SME Technology Transformation Fund (RM400 juta) dan Dana Pemantapan Automasi (RM50 juta).
Program Pembiayaan HalalBiz, disokong oleh peruntukan besar RM100 juta, mengukuhkan peranan penting SME Bank sebagai pemboleh bagi PMKS dalam industri halal. Disokong oleh komitmen strategik ini, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan SME Bank, menekankan, “Kami secara aktif menyokong perjalanan PMKS dalam mendapatkan pengiktirafan halal melalui pelbagai inisiatif yang ditadbir di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). Bagi tahun 2023, KUSKOP memperuntukkan RM2.15 juta kepada anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) untuk menyediakan pakej komprehensif sokongan kewangan, khidmat nasihat strategik dan pembangunan kapasiti.”
Dalam usaha untuk memupuk jaguh global dalam kalangan PKS Bumiputera, SME Bank turut menerima sejumlah RM3 juta untuk terus menawarkan pembangunan kapasiti usahawan melalui Business Export Programme (BEP). Pihak Bank juga menerima pembiayaan tambahan untuk Pembiayaan Jaguh Serantau menjadikannya berjumlah RM300 juta untuk tujuan ini.
Datuk Wira Aria menambah, “Menyokong usahawan Bumiputera akan terus menjadi salah satu mandat kami dan matlamat ini dapat dicapai dengan pembiayaan baharu kami iaitu Dana Kemampanan PMKS Bumiputera berjumlah RM200 juta. Program ini telah dilengkapkan dengan bantuan kewangan dalam bentuk tawaran pembiayaan dan geran padanan, yang bertujuan untuk memperkukuh kapasiti perniagaan PMKS Bumiputera. Langkah-langkah ini direka untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran mereka, mengembangkan jangkauan pasaran mereka, dan meningkatkan daya saing keseluruhan."
Juara Lestari Perusahaan Sosial 2.0, inisiatif pembangunan kapasiti bertujuan meningkatkan bilangan perusahaan sosial (SE) bertauliah yang menyokong inisiatif SEMy2030 KUSKOP, akan memanfaatkan dana yang diperuntukkan baru-baru ini sebanyak RM1 juta. CEDAR sebagai agensi pelaksana akan menyediakan sokongan menyeluruh, termasuk latihan, bimbingan perancangan perniagaan, dan geran pemudah cara. Program ini merupakan kesinambungan daripada Juara Lestari 2023 SME Bank. Tambahan pula, SE akan berpeluang mendapat akses pembiayaan daripada SME Bank untuk kedua-dua pemerolehan aset dan keperluan modal kerja melalui Skim Pembiayaan Perusahaan Sosial, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM15 juta.
YAB Perdana Menteri juga mengumumkan semula lima pembiayaan sedia ada SME Bank untuk membolehkan pihak Bank terus memenuhi keperluan PKS. Ini termasuk dana SME Recapitalisation (RM500 juta), Dana Pemangkin Ekosistem Industrial Building System (IBS) (RM70 juta), Tabung Khas Pelancongan (RM60 juta), Dana Pemantapan Automasi (RM50 juta) dan Skim Pembiayaan Perusahaan Sosial (RM15 juta).
Belanjawan 2024 menyaksikan Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM44 bilion dalam bentuk pembiayaan, geran dan program pembangunan kapasiti, khususnya untuk pemerkasaan PMKS. Usahawan yang berminat dengan kemudahan pembiayaan dan program pembangunan usahawan boleh menghubungi Pusat Panggilan Pelanggan SME Bank di talian 03-26037700 atau layari laman web rasmi di www.smebank.com.my.