+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

SME Bank Buka Peluang Kepada Peserta Program Eksport Perniagaan Tembusi Pasaran Jerman Di SME Future Day 2024


Kuala Lumpur, 18 Mac 2024 – SME Bank, melalui Program Eksport Perniagaan (BEP), berjaya memimpin empat (4) peserta BEP-nya untuk meneroka peluang dalam pasaran Jerman pada SME Future Day 2024, acara perniagaan utama untuk perniagaan kecil dan sederhana di Jerman. Acara itu bertujuan untuk memupuk kerjasama dan meneroka peluang untuk mempercepatkan eksport produk dan perkhidmatan Buatan Malaysia ke Jerman dengan membina pakatan strategik dan mempromosikan kepelbagaian inovasi Malaysia.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail berkata, “SME Bank komited dalam menyerlahkan potensi penuh eksport Malaysia, dan penyertaan kami di Berlin menandakan satu langkah penting ke arah mencapai matlamat ini. Melalui Program Eksport Perniagaan (BEP), kami berhasrat untuk mempamerkan kecemerlangan dan inovasi Malaysia di persada global dan meluaskan kehadiran mereka ke pasaran antarabangsa. Sehingga kini, BEP telah mencatatkan jumlah hasil eksport pra-program yang luar biasa sebanyak RM 34.86 juta daripada 62 syarikat dan hasil eksport pasca program yang mengagumkan sebanyak RM 150.48 juta pada 2023.”

Empat syarikat Bumiputera mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka di SME Future Day 2024, iaitu Marniq Bersatu Sdn Bhd, pakar dalam perkhidmatan teknologi maklumat, perundingan pengurusan, dan perkhidmatan yang berkaitan dengan industri minyak dan gas; Primelux Energy Sdn Bhd, terkenal dengan pembuatan lampu jalan dan aksesori; Ade Azhar Trading Sdn Bhd, perdagangan buku dan makanan tambahan, dan 59Kopa Sdn Bhd, yang menumpukan pada pembuatan sukan dan pakaian, pemasaran antarabangsa, import-eksport dan pengurusan fasiliti.

Ketua Pegawai Eksekutif Ade Azhar Trading Sdn Bhd, Ade Azhar Ismail mengulas, “Menyertai acara perdagangan sebesar ini, terutamanya di Jerman, menandakan satu peristiwa penting bagi syarikat kami. Kami sangat teruja untuk menyertai rombongan BEP dan meneruskan perjalanan kami dengan SME Bank. Aspirasi kami sangat tinggi dan kami berhasrat untuk memanfaatkan peluang ini untuk mengembangkan kehadiran kami di pasaran Jerman.”

Kejayaan penyertaan PKS Malaysia di Berlin mengukuhkan lagi komitmen negara untuk memupuk kerjasama global, memacu pertumbuhan ekonomi, dan mempamerkan keupayaan perniagaan Malaysia di persada antarabangsa.

Selain itu, lawatan delegasi ke pasaraya-pasaraya di Berlin memberikan peluang strategik dalam mendapatkan gambaran yang lebih mendalam mengenai pasaran Eropah dan PKS juga berpeluang melibatkan diri dalam perbincangan dan tinjauan tentang potensi pengembangan produk Malaysia sedia ada dan baharu untuk menilai keberadaan dan penerimaan jenama Malaysia.

BEP memainkan peranan penting dalam mempelbagaikan eksport negara dan menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, sejajar dengan Teras 6 di bawah Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030 yang memfokuskan kepada pengantarabangsaan perusahaan berprestasi tinggi. Ketahui lebih lanjut mengenai program dan inisiatif SME Bank di www.smebank.com.my, Facebook SME Bank, atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan SME Bank di 603-26037700.

18/03/2024 7:49