+603 2603 7700
EN BM

Program Best Exporters Capai Peningkatan Hasil Eksport RM141.1 Juta

KUALA LUMPUR : 3 Disember 2019

Sebanyak RM141.4 juta hasil eksport tambahan telah berjaya diraih oleh 73 buah syarikat melalui Program Best Exporters (BEP) hasil kerjasama tiga buah agensi iaitu SME Bank, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

YB Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, Menteri MED berkata, “Langkah SME Bank bersama-sama TERAJU dan MATRADE menganjurkan Program BEP ini adalah tepat pada masanya, terutama bagi meningkatkan jumlah sumbangan PKS terhadap eksport negara. Sebagai menyokong kelangsungan program BEP pada masa hadapan dan juga memastikan lebih ramai usahawan mendapat manfaat, Kementerian Pembangunan Usahawan akan memperuntukkan dana sebanyak RM5 juta dalam program BEP2.0 mulai tahun 2020.”

Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, “Sebagai sebuah peneraju utama Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) bagi sektor PKS, SME Bank juga telah meluluskan pembiayaan baharu bernilai RM87.8 juta kepada 13 buah syarikat yang terlibat dalam program BEP ini. Pembiayaan yang disediakan adalah untuk kegunaan modal kerja dan pembelian aset.”

Aria menambah, “Daripada 73 buah syarikat yang menyertai BEP, 43 buah syarikat adalah daripada sektor pembuatan dan 30 buah syarikat daripada sektor perkhidmatan. Bagi memantapkan lagi kapasiti dan keupayaan peserta, anak syarikat kami, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) turut menyediakan latihan pembangunan kapasiti mengikut modul yang bersesuaian. Selain CEDAR, INSKEN dan COOPMATRADE turut dilantik sebagai penyedia perkhidmatan pembangunan kapasiti bagi program ini.”

Megat Mohd Yatim Megat Hamid, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) berkata, “Dalam memberi ruang dan peluang kepada komuniti usahawan Bumiputera Perusahaan Kecil dan Sederhana atau PKS, sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan di bawah BEP dan setiap syarikat yang mengikuti program ini telah diperuntukkan geran berjumlah RM200,000 bagi menyokong aktiviti-aktiviti pengeksportan mereka. Selain daripada BEP, TERAJU telah lama menjalinkan kerjasama bersama SME Bank melalui 3 program sebelum ini iaitu Dana TERAS, Bumiputera Equity Financing Program (BASE) dan Subordinated Financing Program (SFP) dalam meningkatkan pertumbuhan syarikat Bumiputera dalam pengembangan perniagaan.”

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Sharimahton Mat Saleh menyatakan, kerjasama antara agensi melalui program seperti BEP adalah penting dalam memastikan adanya peningkatan dalam sumbangan eksport di kalangan PKS Malaysia. “Sebagai agensi promosi eksport Malaysia, MATRADE telah menyalurkan informasi risikan pasaran tentang peluang-peluang eksport kepada PKS dalam program ini. Selain itu, dengan adanya 46 buah pejabat MATRADE di bandar-bandar komersil utama di seluruh dunia, MATRADE juga membantu menyelaras misi perdagangan untuk disertai syarikatsyarikat yang terlibat selain memadankan mereka dengan pengimport dari seluruh benua,” Sharimahton berkata.

Majlis telah dihadiri oleh YB. Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan dan disaksikan YB. Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Ramli, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Md. Radzi, Ketua Setiausaha MED.