+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

SME Bank Nobat Pemenang SME Bank Sandbox Swiss Innovation Challenge 2024, Juara Bakal Beraksi Di Swiss International Pitch

Kuala Lumpur 27 September 2024

KUALA LUMPUR: 27 September 2024 – SME Bank Malaysia Berhad (“SME Bank”) hari ini mengumumkan barisan pemenang SME Bank Sandbox Swiss Innovation Challenge (“SSSIC”) 2024, di mana sebanyak enam pasukan pemenang telah membawa pulang hadiah wang tunai lebih RM100,000 dan satu projek inovasi akan mewakili Malaysia dalam Swiss Innovation Challenge 2024 International Pitch di Switzerland pada 21 October 2024.

Neoteric Engineering menduduki tempat pertama di bawah Kategori Terbuka, membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000 dan dinobatkan sebagai juara utama. Dua daripada wakil mereka akan mewakili negara untuk membentangkan projek inovasi kemenangan mereka di Switzerland. Neoteric Engineering merevolusikan pertanian dan perniagaan tani dengan inisiatif Perladangan Ketepatan Dipacu Data. Dengan menyepadukan teknologi canggih seperti AI, IoT dan data satelit, mereka mengubah amalan pertanian untuk kecekapan dan kemampanan yang lebih tinggi.

Seterusnya, di bawah Kategori Terbuka, pemenang lain termasuk ProFeather sebagai naib juara menerima RM20,000 dan Materials in Works sebagai tempat ketiga menerima RM15,000. Sementara itu, bagi Kategori Pengajian Tinggi, Sunshine (FarmE) yang terdiri daripada pelajar dari Asia Pacific University of Technology & Innovation merangkul Juara, membawa pulang RM20,000, manakala Smartlink Innovation (Ecowatch) yang terdiri daripada pelajar dari Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman merupakan naib juara menerima RM15,000 dan REMORA yang terdiri daripada pelajar dari University of Southampton sebagai tempat ketiga menerima RM10,000.

SSSIC 2024 menyaksikan sebanyak 439 penyertaan dan telah melalui proses saringan yang ketat. Sebanyak 68 pasukan telah disenarai pendek dengan hanya 19 finalis, terdiri daripada 10 daripada kategori Terbuka dan 9 daripada kategori Pengajian Tinggi. Kategori Terbuka terdiri daripada syarikat permulaan, spin-off dan syarikat yang tidak lebih daripada lima tahun penubuhannya, manakala Kategori Pengajian Tinggi terdiri daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia. SSSIC 2024 memberikan tumpuan yang kuat pada inovasi, kemampanan dan impak sosial, kerana majoriti penyertaan daripada para peserta adalah selaras dengan prinsip Matlamat Pembangunan Mampan.

YB Datuk Ewon Benedick, Menteri, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (“KUSKOP”) berkata, “Saya berbesar hati melihat SME Bank, bersama-sama dengan rakan kerjasamanya berkongsi semangat kolektif yang sejajar dengan agensi Kerajaan Malaysia, di mana mandat kami adalah untuk terus memberi nilai kepada ekosistem PKS. Kerjasama ini memupuk inovasi dan kemampanan dalam ekosistem keusahawanan tempatan kami dan menyokong Agenda Pembangunan Mampan 2030 Kerajaan. Tambahan pula, SSSIC 2024 merupakan contoh yang baik daripada Kerajaan untuk mewujudkan banyak peluang, melalui agensinya, untuk terus memperkasakan usahawan tempatan kami di dalam pasaran tempatan dan antarabangsa."

Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, berkata, “SME Bank Sandbox Swiss Innovation Challenge 2024 merupakan kerjasama antara SME Bank dan Swiss Innovation Challenge ("SIC"), sebuah program berprestij yang dimiliki oleh School of Business of the University of Applied Sciences and Arts Northwestern Switzerland (“FHNW”) yang memupuk inovasi di kedua-dua negara ASEAN dan Eropah. Kerjasama ini telah memberikan SME Bank peluang, bersama-sama dengan rakan strategik kami, untuk menyediakan platform yang unik untuk usahawan dan PKS mempamerkan idea perniagaan inovatif mereka. Melalui cabaran ini, kami berusaha untuk memberi inspirasi kepada penyelesaian baharu, memacu model perniagaan yang lestari dan memberi impak yang bermakna dan berkekalan kepada masyarakat sekitar."

Dengan kerjasama FHNW, bersama-sama dengan anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. ("CEDAR"), SSSIC 2024 berfungsi sebagai platform yang bertujuan untuk memupuk ekosistem yang memperkasakan PKS demi menjana idea yang inovatif dan berimpak tinggi, berfokuskan kepada impak alam sekitar, sosial dan ekonomi. Melalui CEDAR, SSSIC 2024 dilengkapi dengan pengetahuan praktikal dan peningkatan kemahiran melalui jurulatih dan usahawan yang berpengalaman. SSSIC 2024 turut disokong oleh Universiti Malaysia Kelantan, Putra Business School, DRB-HICOM University of Automotive Malaysia dan Swiss Malaysian Chamber of Commerce.

Majlis penyampaian Hadiah SME Bank Sandbox Swiss Innovation Challenge 2024 telah dirasmikan oleh YB Datuk Ewon Benedick. Turut hadir ialah YBhg. Dato' Sri Khairul Dzaimee Daud, Ketua Setiausaha MECD, bersama Dato' Muslim Hussain, Pengerusi SME Bank dan Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank untuk meraikan pemenang pada edisi tahun ini.

27/09/2024 4:11