Dato’ Seri Nazir Ariff dilantik sebagai Pengerusi SME Bank
Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank), sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan, telah mengumumkan perlantikan Dato’ Seri Nazir Ariff sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif, SME Bank berkuatkuasa pada 18 Oktober 2019.
Dato’ Seri Nazir Ariff, 73 tahun, adalah seorang ahli korporat berjaya yang mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai bidang, antaranya perbankan, hartanah, perlombongan, komoditi dan lain-lain. Berpendidikan di dalam bidang perakaunan dari United Kingdom, beliau juga adalah seorang Fellow of British Institute of Management.
Sebagai seorang tokoh perniagaan, Dato’ Seri Nazir adalah pengasas bersama Aspen (Group) Holdings Limited dan memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif. Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi / Pengarah Eksekutif di Ivory Properties Group Berhad dari tahun 2006 hingga 2013. Dato’ Seri Nazir Ariff telah memulakan kerjaya beliau dengan menyandang beberapa jawatan penting di Escoy Holdings Berhad (dahulu dikenali sebagai Datuk Keramat Holdings Berhad) sehingga tamat tempoh perkhidmatan sebagai Pengarah Urusan di syarikat tersebut pada tahun 2006. Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (Cawangan Utara) dari tahun 1995 hingga 2018.
Pada ketika ini, Dato’ Seri Nazir Ariff adalah seorang Pengarah Bebas di Texchem Resources Berhad dan PBA Holdings Berhad serta menjadi Pengarah di Thailand Smelting & Refining Co. Limited dan Escoy Holding Berhad.
Dato’ Seri Nazir Ariff juga aktif dalam bidang sukan dan pernah menyandang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak, Pulau Pinang dari tahun 2013 hingga 2017. Beliau juga aktif dalam kerja-kerja kebajikan di Pulau Pinang dan memegang jawatan penting dalam beberapa badan bukan kerajaan seperti Children Protection Society dan Penang Future Foundation.
Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, “Perlantikan Dato’ Seri Nazir Ariff sebagai Pengerusi SME Bank adalah tepat pada masanya memandangkan pengalaman luas beliau dalam bidang korporat dan perniagaan akan dapat membantu meneraju SME Bank ke arah transformasi pembangunan yang mampan dan berkesan.”