SME Bank Sumbang RM 74,100 kepada Sekolah Terjejas Banjir di Sabah
KOTA KINABALU: 1 Ogos 2024 – SME Bank mengambil langkah proaktif untuk membantu sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir kilat baru-baru ini di Penampang, Sabah. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan SME Bank untuk menyokong komuniti pada masa yang memerlukan, memastikan pelajar yang terjejas akibat banjir boleh meneruskan pendidikan mereka tanpa gangguan.
Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, berkata, “Selaras dengan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), SME Bank telah menyumbang sebanyak RM 74,100 kepada empat sekolah di kawasan yang terjejas untuk membantu para pelajar yang kehilangan barangan sekolah yang penting. Sumbangan ini bertujuan meringankan beban keluarga dan memastikan para pelajar dapat meneruskan pendidikan mereka. Sekolah-sekolah yang menerima sumbangan ini adalah SK ST Anthony, SK ST Theresa Inobong, SMK Datuk Peter Mojuntin, dan SK Babagon.”
"Kami percaya dalam menyokong komuniti tempat kami beroperasi, terutamanya pada masa yang memerlukan. Sokongan ini membantu seramai 247 pelajar menggantikan pakaian seragam sekolah, kasut, dan barangan penting lain. Sumbangan ini merupakan bukti komitmen berterusan SME Bank terhadap tanggungjawab social, sokongan komuniti dan kehadiran kami yang kukuh di Kota Kinabalu dan Tawau," tambahnya.
Majlis penyerahan sumbangan yang diadakan bersama Program Ehsan oleh KUSKOP telah berlangsung pada 1 Ogos 2024, di Dewan Huguan Siou Tuavon, Penampang. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Dato' Muslim Hussain, Pengerusi SME Bank, bersama agensi KUSKOP dan pemimpin komuniti yang lain.
Selain daripada sokongan kukuh terhadap PMKS, SME Bank komited terhadap kesejahteraan masyarakat dan secara aktif menangani keperluan komuniti dengan penekanan yang kuat pada kelestarian. Pendekatan menyeluruh ini memastikan bahawa sambil memacu pertumbuhan ekonomi, ia juga akan menyumbang kepada masa depan yang mampan dan saksama untuk semua. Ketahui lebih lanjut mengenai program dan inisiatif SME Bank di www.smebank.com.my, Facebook SME Bank, atau hubungi Pusat Panggilan Pelanggan SME Bank di 603-26037700.