+603 2603 7700
EN BM

SME Bank Perkasa Usahawan Industri Halal Di MIHAS

11 September 2023

Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) sebagai agensi peneraju bagi pavilion Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan membawa 24 PKS untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka bersama-sama agensi KUSKOP di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 pada 12-15 September 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank dalam kenyataan berkata, “Dua belas (12) daripada pempamer yang ditampilkan merupakan peserta Business Export Program (BEP), sebuah inisiatif yang ditadbir oleh KUSKOP. SME Bank telah diamanahkan untuk menguruskan dana sebanyak RM11.5 juta untuk pelaksanaan BEP. Sejak menyertai BEP, dan sehingga bulan Disember 2022, semua peserta program telah mencapai kejayaan yang membanggakan dan secara kolektif telah menjana jualan eksport berjumlah RM123.40 juta.”

Penyertaan di dalam MIHAS adalah sebahagian daripada misi pecutan eksport (EAM), inisiatif di bawah BEP bagi sebagai persediaan usahawan dalam meneroka pasaran halal global. Inisiatif ini akan menjadi peluang terbaik untuk mereka mendekati rakan kongsi dan pelabur berpotensi. BEP menyediakan pelbagai peluang kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan dan melengkapkan mereka dengan ilmu keusahawanan yang menyeluruh melalui pelbagai program dan modul yang disediakan.

Untuk tahun 2023, SME Bank bersama-sama 30 PKS telah mengambil bahagian dalam tiga EAM termasuk EAM yang telah dijadualkan akan berlangsung di Jepun bersempena Malaysia Fair, Tokyo 2023. Usaha kolektif ini akan terus menyokong Pelan Induk Industri Halal 2030 untuk mencapai RM63.1 bilion nilai eksport halal menjelang 2025.

SME Bank secara aktifnya telah menyertai MIHAS sejak tahun 2013. MIHAS edisi ke-19 memberi penekanan terhadap agenda memajukan dan menggalakkan kelestarian dan inovasi dalam industri halal untuk usahawan tempatan dan antarabangsa. Pavilion KUSKOP terletak di Dewan 3 & 4, Aras 1 Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Untuk maklumat lanjut mengenai SME Bank, sila layari www.smebank.com.my atau platform media sosial SME Bank atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 03-2603 7700.