+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

SME Bank Perkasa Usahawan Malaysia Capai Eksport Global di Gulfood Dubai 2024

22 Feb 2024

Kuala Lumpur, 22 Feb 2024 – SME Bank, peneraju institusi kewangan pembangunan (DFI) di Malaysia telah membimbing 11 buah PKS tempatan untuk meneroka peluang eksport di Gulfood Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu ini. Diiktiraf sebagai salah satu pameran perdagangan makanan dan minuman (F&B) tahunan terbesar di dunia, Gulfood menyediakan platform strategik bagi usahawan Malaysia untuk mempamerkan produk mereka di pentas global.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail mengulas, “Kami amat berbesar hati kerana dapat membawa usahawan tempatan ke Gulfood sekali lagi. Mereka merupakan peserta Program Eksport Perniagaan (BEP) dan Program Market Access Incentive (MASSIVE) yang merupakan program di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), yang diterajui oleh SME Bank dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut SME Bank membawa peserta di bawah program ini ke Gulfood, yang telah memperluaskan peluang perniagaan untuk usahawan Malaysia, khususnya dalam sektor halal di pasaran antarabangsa. Peserta Gulfood 2023 kami berjaya menjana jualan bernilai RM6.35 juta dan kami menjangkakan jumlah ini akan bertambah pada tahun akan datang.”

Acara selama seminggu itu menyaksikan beberapa peristiwa penting berlangsung, termasuk pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tishas Food Manufacturing Sdn. Bhd. dengan Happymarket Trading Co. Pte. Ltd Maldives, serta antara Syilis Food Manufacturing Sdn. Bhd. dengan Imperia Asia F&B Trading Co. LLC; dua entiti yang berdaftar di Malaysia merupakan pelanggan sedia ada SME Bank. Selain itu, Syillis Food Manufacturing Sdn. Bhd. - bersama dua (2) syarikat lain yang mengambil bahagian - Syed Food Industries Sdn. Bhd. dan Skinny Bakers Group Sdn. Bhd., telah melancarkan produk baharu masing-masing iaitu Minyak Cili, Kuih Kacang berperisa Durian Musang King, Nasi Ayam Mandy dan Biskut Kuih Bakar.

“Pengenalan produk Malaysia yang inovatif ini mencerminkan kepintaran dan kepakaran dinamik PKS kita, menggabungkan tradisi dan inovasi untuk pasaran global. Sebagai sebuah agensi KUSKOP dan pemain utama pertumbuhan PKS, SME Bank akan terus menyokong PKS secara holistik bukan sahaja melalui program pembangunan kapasiti dan bantuan kewangan, tetapi juga dengan menyediakan platform optimum untuk meningkatkan pengiktirafan jenama mereka, memupuk rangkaian perniagaan dengan peneraju industri, dan menjalin perkongsian perdagangan yang berharga dengan pembeli, pengimport dan bakal pelabur,” tambah Datuk Wira Aria.

SME Bank telah berjaya membimbing 62 buah syarikat sejak program BEP dimulakan pada tahun 2020. Walaupun menghadapi cabaran pandemik COVID-19 pada masa itu, peserta program BEP telah berjaya menjana jualan eksport RM150.48 juta, sekaligus mempamerkan dedikasi SME Bank sebagai penggerak pertumbuhan ekonomi melalui perdagangan antarabangsa. Terokai dengan lebih lanjut mengenai inisiatif SME Bank di www.smebank.com.my, Facebook SME Bank, atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan SME Bank di 603-26037700.

 

 

22/02/2024 7:35