+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

SME Bank Pacu Pelan Induk Industri Halal 2030, Tawar Proposisi Halal dengan Jumlah Portfolio Pembiayaan Bernilai RM2.41 Bilion

Kuala Lumpur | 16 OKtober 2024

KUALA LUMPUR: 16 Oktober 2024 – SME Bank Malaysia Berhad ("SME Bank") menegaskan komitmennya dalam memainkan peranan penting untuk memajukan Pelan Induk Industri Halal 2030 ("HIMP 2030") melalui Pelan Hala Tuju Halal selama lima tahun, yang disokong oleh pembiayaan Islam yang kukuh, serta inisiatif pembinaan kapasiti dan pembangunan keupayaan yang berterusan untuk merangsang pertumbuhan sektor Halal.

Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, "Komitmen kami dalam menyokong inisiatif HIMP 2030 Kerajaan diperkukuhkan melalui pembangunan komprehensif Pelan Halal lima tahun yang merangkumi penyelesaian kewangan yang berkesan serta patuh Shariah. Pelan ini menyokong ekosistem Halal melalui tiga teras utama: pembangunan kapasiti, inovasi produk dan pembiayaan, di samping usaha untuk pengantarabangsaan Halal dan juga direka untuk membantu perniagaan mendapatkan pensijilan Halal, sambil menyediakan akses lebih mudah kepada modal serta memperkasakan mereka untuk berkembang dalam pasaran Halal, di peringkat domestik dan antarabangsa.”

“Kami juga merupakan salah satu institusi kewangan yang diberi mandat dalam Belanjawan Negara 2024 untuk menggerakkan Program Pembiayaan HalalBiz yang menggalakkan penyertaan PMKS dalam ekosistem Halal, selain Program Eksport Perniagaan (“BEP”) kami, yang menyokong syarikat mengembangkan kapasiti dan keupayaan mereka untuk eksport termasuk dalam sektor berkaitan Halal. Ini adalah selaras dengan komitmen teguh kami untuk terus merangsang pertumbuhan sektor Halal. Setakat ini, portfolio pembiayaan kami bagi sektor berkaitan Halal berjumlah kira-kira RM2.41 bilion, yang mewakili 27% daripada jumlah portfolio Bank dalam pelbagai segmen ekonomi utama,” jelas Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim.

Melalui anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. ("CEDAR"), Bank terus memperkasakan ekosistem PMKS melalui pelbagai sesi bimbingan perniagaan, perundingan pensijilan Halal, dan jelajah Halal, yang digerakkan melalui Program Pembangunan Kapasiti Produk Halal, Program Pembangunan Kapasiti Keusahawanan Halal, dan Program Keusahawanan Teknologi Halal.

Jumadi Kadir, Ketua Pegawai Shariah Kumpulan SME Bank, menekankan integrasi konsep "Halal Tayyib" ke dalam Pelan Hala Tuju Halal Bank. “Ini bukan sekadar pematuhan terhadap piawaian Halal, tetapi juga memastikan amalan etika merentasi keseluruhan industri Halal, sekali gus memupuk ekosistem yang berkembang maju untuk PMKS," katanya.

Menurut Pelan Induk Industri Halal 2030, pasaran Halal Malaysia dijangka mencecah RM523.3 bilion dan disasarkan menyumbang hampir 11% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar ("KDNK") Malaysia menjelang 2030. Pertumbuhan ini dijangka mewujudkan lebih 700,000 peluang pekerjaan, menunjukkan potensi ekonomi sektor Halal yang ketara. Pada masa ini, industri Halal menyumbang kira-kira 6% hingga 7% daripada KDNK negara, dengan anggaran penilaian pasaran sebanyak RM64 bilion.

HIMP 2030 merupakan inisiatif strategik yang bertujuan untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju terkemuka dalam ekonomi Halal global dan dibangunkan untuk memangkin kedudukan Malaysia dalam pembangunan industri Halal dan berteraskan tujuh komponen strategik. Ini termasuk memperkukuh dasar dan perundangan mesra Halal, mewujudkan ruang pasaran baharu dan lebih besar, membina kumpulan pakar industri Halal, meningkatkan pembangunan infrastruktur yang berkualiti dan bersepadu, memupuk kepimpinan pemikiran, melahirkan lebih ramai juara Halal tempatan, dan memudahkan penyertaan Bumiputera yang lebih kompetitif.

16/10/2024 8:52