+603 2603 7700
EN BM

HRSB Holdings Terima Pembiayaan SME Bank Bernilai RM132 Juta

KUALA LUMPUR : 15 April 2022

HRSB Holdings Sdn. Bhd. (HRSB Holdings), sebuah syarikat kontraktor Minyak & Gas Malaysia telah berjaya menerima pembiayaan daripada SME Bank yang keseluruhannya bernilai RM132 juta bagi tujuan modal kerja dan pembelian aset untuk melaksanakan kontrak yang diterima mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Presiden Kumpulan HRSB Holdings, Dato’ Mohd Faizal bin Mohd Hassim berkata, “Melalui pembiayaan dan bimbingan yang diberikan oleh SME Bank, HRSB Holdings telah berjaya menjadi kontraktor pilihan dalam industri Minyak & Gas di Malaysia antaranya oleh PETRONAS. Dengan adanya tenaga kerja yang cekap serta kemudahan yang lengkap, HRSB Holdings berkeupayaan untuk menjalankan tiga projek Turnaround (TA) pada masa yang sama.”

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dr. Aria Putera Ismail berkata, “Hubungan perniagaan antara SME Bank dengan HRSB Holdings pada peringkat awalnya bermula melalui pembiayaan Skim Siswazah Muda pada tahun 2007. Melihat kepada penilaian serta prestasi memberangsangkan yang ditunjukkan oleh HRSB Holdings, pihak Bank telah menyalurkan bantuan pembiayaan tambahan melalui Pembiayaan Kontrak SME Bank bagi membantu perniagaan mereka berkembang ke peringkat yang lebih tinggi.”

“Sebagai nilai tambah untuk pelanggan kami, HRSB Holdings turut terpilih untuk menyertai Program TITAN SME Bank, sebuah program pembangunan usahawan peringkat tinggi.  Peserta Program TITAN akan dibimbing untuk mencapai penilaian RM1 bilion atau bersamaan dengan 500% CAGR (Kadar Pertumbuhan Tahunan Majmuk) dalam tempoh lima tahun,” ulas Dr. Aria.

Dato’ Faizal turut menambah, “Melihat kepada objektif perniagaan jangka panjang, selain industri Minyak dan Gas, HRSB Holdings telah mempelbagaikan perkhidmatannya yang merangkumi sektor Telekomunikasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Pembuatan Produk Pengguna, Infrastruktur dan Pembinaan. Ini selari dengan matlamat HRSB Holdings untuk berdaftar sebagai syarikat awam (Berhad) yang tersenarai dalam pasaran Bursa Malaysia pada tahun 2024 serta mencapai hasil jualan tahunan berkumpulan sebanyak RM1 bilion, seiring sasaran Program TITAN SME Bank.”

Antara kontrak berskala besar dan bernilai tinggi yang telah disempurnakan oleh HRSB Holdings termasuk Perjanjian Perkhidmatan Induk (MSA) bagi Integrated Turnaround Main Mechanical and Maintenance Mechanical Static (TA4MS) untuk PETRONAS dan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi Projek Effluent Management at Source (EMAS) untuk Malaysian Refining Company Sdn. Bhd. (MRCSB).

HRSB Holdings telah memperoleh pensijilan Sistem Pengurusan Bersepadu (IMS) ISO 9001:2015, ISO 14001:2015 dan ISO 45001:2018; serta sedang berada dalam fasa pendigitalan dengan menerapkan penggunaan pelbagai perisian komputer bagi menjalankan tugasan harian dan pengurusan operasi projek.

Majlis penyerahan simbolik pembiayaan tersebut telah disempurnakan oleh Dr. Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank kepada Dato' Hj. Mohd Faizal bin Hj. Mohd Hashim, Presiden HRSB Holdings Sdn. Bhd.