+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

INDEKS SENTIMEN PKS MENUNJUKKAN KEYAKINAN BERTERUSAN DALAM KALANGAN PMKS

Kuala Lumpur | 23 Disember 2024

KUALA LUMPUR: 23 Disember 2024 – Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (“SME Bank”) hari ini mengumumkan keputusan Indeks Sentimen PKS bagi separuh kedua tahun 2024 (2H 2024), yang menunjukkan peningkatan keyakinan dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (“PMKS”). Indeks ini meningkat kepada 55.8 (berbanding 54.7 pada 1H 2024), mencatatkan peningkatan ketiga berturut-turut dan skor tertinggi sejak kajian ini dimulakan. 

“Trend peningkatan ini mencerminkan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, jangkaan jualan yang kukuh, serta perancangan yang diperbaharui untuk pengembangan dan penciptaan peluang pekerjaan. Ini mengukuhkan lagi peranan kritikal PMKS dalam trajektori ekonomi Malaysia, yang juga selari dengan fokus Kerajaan Madani terhadap pertumbuhan mampan dan inklusif, khususnya dalam mewujudkan prospek positif untuk PMKS kita terus maju dalam persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah dan kompetitif,” kata Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank. 

Sorotan Utama:

  • PMKS lebih yakin terhadap pertumbuhan ekonomi - dipacu oleh sektor akomodasi.
  • Perniagaan berskala besar mencatatkan tahap optimisme tertinggi, berbeza dengan sikap pesimis yang ditunjukkan pada 1H 2024.
  • Perniagaan mikro tetap berhati-hati namun menunjukkan aspirasi kuat untuk mengeksport, dengan 20% berhasrat memasuki pasaran luar negara - walaupun pendedahan semasa adalah minimum (5%).
  • PMKS mungkin berdepan keuntungan lebih rendah walaupun jualan meningkat, disebabkan peningkatan kos yang meluas.
  • PMKS terus memacu ke arah kelestarian.
  • Keputusan pengambilan pekerja sebahagian besarnya dipandu oleh rancangan pengembangan perniagaan.
  • Pengembangan perniagaan menjadi tumpuan utama, menggantikan pemasaran/penjenamaan yang telah menjadi keutamaan sejak kajian Indeks Sentimen PKS ini dimulakan pada 2022.
  • Impak neutral daripada subsidi bersasar, gaji progresif, dan e-invois. Perniagaan mikro memiliki simpanan tunai paling rendah.

“Sebagai salah satu institusi kewangan pembangunan terkemuka di Malaysia yang dimandatkan untuk memperkasakan PMKS, kami terus komited untuk terus memberikan nilai kepada PMKS melangkaui pembiayaan. Kajian Indeks Sentimen PKS ini mengukuhkan komitmen kami dalam menyediakan gambaran yang jelas dan ringkas mengenai landskap PMKS secara keseluruhan. Momentum positif yang direkodkan dalam kajian ini sekali lagi menekankan kedudukan PMKS sebagai segmen penting dalam ekonomi kita, yang menyumbang secara signifikan kepada trajektori pertumbuhan Malaysia,” tambah Datuk Dr. Mohammad Hardee. 

Lynette Lee Li Qing, Ketua Pakar Ekonomi SME Bank mengulas, “Ekonomi Malaysia terus berkembang pada kadar 5.2% dalam sembilan bulan pertama tahun 2024, dan sentimen ini selari dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (“KDNK”) yang lebih baik bagi tahun 2025, di mana SME Bank menjangkakan ekonomi berkembang antara 4.5% hingga 5.5%.” 

“Petunjuk lain seperti Kajian Kecenderungan Perniagaan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (“DOSM”), juga meramalkan keadaan perniagaan yang lebih baik dalam beberapa bulan akan datang. Walaupun optimisme semakin meningkat, PMKS terus berdepan cabaran seperti tekanan kos yang lebih tinggi dan lebih terdedah kepada turun naik kadar pertukaran akibat peningkatan aktiviti import dan eksport, yang berpotensi memberi kesan kepada margin keuntungan jika tidak diurus dengan efektif,” tambah beliau. 

Sebahagian besar responden dari semua saiz perniagaan menjangkakan pengembangan ekonomi, dengan diterajui oleh perniagaan berskala besar, melibatkan 63% responden, manakala perniagaan mikro adalah paling kurang optimistik (50%). Ini adalah perubahan lengkap berbanding keputusan 1H di mana perniagaan berskala besar merupakan yang paling pesimis, menjangkakan kelembapan ekonomi berbanding perniagaan mikro yang menjangkakan pengembangan ekonomi. 

Perniagaan besar mungkin mendapat manfaat daripada permintaan domestik yang kukuh dan peningkatan perdagangan antarabangsa, di mana jumlah perdagangan barangan dijangka berkembang sebanyak 3.0% tahun ke tahun pada 2025 berbanding 2.7% pada 2024. Perniagaan mikro kini mempunyai pendedahan eksport paling rendah (5%) tetapi menunjukkan minat tertinggi (20%) untuk menjual produk mereka ke luar negara pada masa hadapan. 

Kajian yang dijalankan antara Ogos hingga November 2024 ini mencatatkan rekod tertinggi dengan 1,485 responden (1H: 1,295), melibatkan peserta dari semua negeri di Malaysia, yang mewakili pelbagai sektor dan saiz perniagaan. Kajian mendalam ini mengumpulkan data bernilai mengenai pandangan dan pengalaman PMKS - menawarkan gambaran makro terhadap persekitaran perniagaan yang menjadi penanda aras kepada prestasi ekonomi masa hadapan secara keseluruhan. Laporan penuh Indeks Sentimen PKS 2H 2024, yang diterbitkan oleh SME Bank, boleh didapati di: https://www.smebank.com.my/sme-sentiment-index. 

23/12/2024 8:28