+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

Program ISHRAF Beri Harapan Baharu kepada Usahawan Asnaf & B40

KUALA LUMPUR : 8 Februari 2021

Program ISHRAF yang dibentuk oleh SME Bank, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) pada bulan Ogos 2020 untuk membantu golongan asnaf dan B40 memperkembangkan perniagaan mikro mereka dengan lebih berkesan telah mula menunjukkan kejayaan apabila 20 peserta yang terlibat telah mencatatkan jumlah jualan terkumpul lebih RM258,000.00.

Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata “Dengan penularan COVID-19 serta kesan daripada bencana alam yang dihadapi oleh mereka yang terlibat, Program ISHRAF ini dilihat sebagai satu talian hayat untuk membantu kelangsungan perniagaan golongan asnaf dan B40 ini. Usaha ini juga adalah selaras dengan mandat yang dipegang oleh MEDAC dan SME Bank untuk membangun dan mengembangkan perniagaan usahawan PKS negara.”

Aria Putera berkata, “Kejayaan usahawan Ahmad Humini Alias yang bermula dengan perkhidmatan mencuci kereta dan dikembangkan kepada mencuci karpet pejabat serta rumah persendirian kini telah mampu menggaji tiga orang pekerja dan memiliki 10 mesin cucian yang bernilai RM20,000 membuktikan tidak ada yang mustahil di dalam perniagaan. Semuanya terletak pada kehendak dan kesanggupan untuk berhadapan dengan cabaran secara positif.”

“Program ISHRAF yang menerapkan aplikasi ilmu keusahawanan secara hands-on ini membuahkan hasil apabila perserta seperti Noor Jannah dari Seventh Son’s Resources telah berjaya menambah baik pengurusan kewangannya dengan lebih tepat seperti pengiraan margin keuntungan produk. Beliau juga telah dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran produk-produk baru yang lebih inovatif dan menepati keperluan pelanggan,” tambah Aria.

Begitu juga dengan Rose Madinah Musa dari Isrose Dinamik Resources di mana skill perniagaan e-dagangnya telah mula berkembang apabila beliau mula menjual produk secara dalam talian melalui platform seperti Shopee dan Whatsapp untuk perniagaan. Beliau juga telah mengenal pasti ejen dropship yang berpotensi dalam talian yang membolehkan beliau meluaskan pasaran produk kesihatan ke platform media sosial. Bagi Khairol Amin Tahir dari Mcnor Resources, beliau telah berjaya meningkatkan purata jualan harian yang dianggarkan antara RM400 hingga RM450 sehari disamping kenaikan purata margin untung produk baru yang lebih tinggi.

Untuk Norlelawati Bahari dari Ella Sunshine Bakery pula, beliau telah menggunakan wang modal yang diterima sebanyak RM10,000.00 untuk menyewa premis yang lebih bersesuaian dan pembelian mesin yang meningkatkan kapasiti pengeluaran produk. Menariknya, Norlelawati juga turut mengendalikan kelas untuk mengajar tentang proses pembuatan roti dan kek kepada orang ramai.  Selain itu, syarikat beliau juga telah berjaya menerima tempahan bekalan roti untuk beberapa kantin hospital awam.  

Aria berkata, “SME Bank memperuntukkan sebanyak RM250 ribu untuk program ISHRAF dengan sokongan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), anak syarikat SME Bank selaku pembimbing latihan keusahawanan ini, merupakan sebuah program tanggungjawab sosial korporat bagi membantu usahawan asnaf dan B40 untuk meningkatkan perniagaan dan dapat memperbaiki tahap sosioekonomi mereka.”

“Dengan sokongan daripada pihak LZS, SME Bank telah memilih 20 orang usahawan asnaf  dan B40 untuk mengikuti Program ISHRAF. Sesi latihan keusahawanan dalam kelas telah dijalankan pada bulan September 2020 dan mereka juga diberikan sesi bimbingan perniagaan dan seterusnya pemantauan oleh CEDAR selama setahun bagi memastikan matlamat perniagaan yang ditetapkan di awal program dapat dicapai. Wang modal berjumlah antara RM8,000 hingga RM12,000 telah diagihkan kepada setiap peserta mengikut keperluan perniagaan masing-masing,” tambah Aria lagi.

Bergerak ke hadapan, SME Bank merancang untuk bekerjasama dengan beberapa lagi agensi seperti pusat zakat negeri-negeri lain serta agensi kerajaan yang berkaitan bagi memaksimumkan manfaat dan memperkasakan lagi Program ISHRAF ini.

08/02/2021 8:33