+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

Merapatkan Jurang: SME Bank Peruntuk RM1.24 Juta kepada Usahawan Mikro melalui Program SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti

16 November 2023

KUALA LUMPUR: 16 November 2023 – SME Bank telah memperuntukkan dana fasilitasi bernilai RM1.24 juta kepada 249 orang peserta Program SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti. Program tanggungjawab korporat yang dirangka secara strategik untuk merapatkan jurang peluang bagi mewujudkan impak ekonomi yang mampan dalam kalangan usahawan B40. Program ini menawarkan kemahiran, alatan dan sokongan yang diperlukan untuk para peserta menubuhkan dan mengekalkan perniagaan mereka dengan jayanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Ewon Benedick berkata, “SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti telah memberi impak yang besar untuk mengukuhkan dan membangunkan perniagaan kumpulan sasar, bukan sahaja semasa pandemik, tetapi juga untuk bergerak ke hadapan. Inisiatif seperti ini juga selaras dengan misi KUSKOP untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif untuk menyokong pembangunan sosioekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mampan.”

“Kerajaan menyokong penuh program ini kerana ia berfungsi sebagai platform untuk mencetuskan transformasi positif dan bertindak sebagai pemangkin untuk memastikan daya tahan perniagaan para peserta. Kesimpulannya, kejayaan ini memainkan peranan penting dalam memartabatkan kemakmuran ekonomi masyarakat setempat,” tambah YB Ewon.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail mengulas, “Program ini bermula sebagai tindak balas pantas untuk membantu usahawan PMKS semasa pandemik pada tahun 2020. Kini, SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti telah pun memanfaatkan lebih 700 orang usahawan mikro B40 dan lebih RM4.6 juta telah diperuntukkan bagi tujuan dana fasilitasi dan program bimbingan keusahawanan”

Datuk Wira Aria berkata, “Komitmen kami adalah untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang inklusif, dan program iTEKAD Penjana Komuniti direka khusus untuk memperkasakan usahawan mikro berpendapatan rendah, membimbing mereka ke arah mencapai daya tahan kewangan. Oleh itu, program ini juga memberi tumpuan kepada aspek pembangunan kapasiti dan memberi panduan tentang cara mencapai kemampanan ekonomi melalui bimbingan perniagaan, pemantauan berterusan, dan juga dana fasilitasi.”

Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), anak syarikat milik penuh SME Bank telah dilantik sebagai jurulatih perniagaan bagi program ini. CEDAR telah menjalankan program latihan komprehensif yang merangkumi modul penting, termasuk pemasaran digital, sistem perakaunan, dan penggunaan gerbang pembayaran semuanya menjurus ke arah meningkatkan operasi perniagaan dan pengurusan kewangan.

Empat objektif utama telah dikenal pasti untuk menyediakan peserta dgn pengetahuan penting yang diperlukan untuk mencapai perniagaan yang mampan. Ini termasuk memperkemas proses pendaftaran perniagaan, diikuti dengan pelaksanaan strategi pemasaran dan sistem perakaunan digital, serta penyepaduan gerbang pembayaran untuk mengoptimumkan operasi perniagaan. Peserta yang berjaya memenuhi kriteria ini dan kekal dalam kumpulan fokus akan layak mendapat dana fasilitasi berjumlah RM5,000 setiap seorang.

Pada awal tahun 2023, SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti telah diiktiraf secara rasmi sebagai salah satu inisiatif iTEKAD yang disokong oleh Bank Negara Malaysia. iTEKAD mewakili program kewangan sosial di mana institusi kewangan bekerjasama untuk menyediakan modal pemula, pembiayaan mikro, dan latihan berstruktur untuk memperkasakan usahawan mikro.

Majlis meraikan 10 orang peserta terbaik program SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti, yang disaksikan oleh YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). Untuk maklumat lanjut mengenai pelbagai inisiatif dan kemudahan kewangan SME Bank, sila layari laman web rasmi di www.smebank.com.my atau berhubung dengan kami melalui platform media sosial rasmi Bank.

16/11/2023 9:26