+603 2603 7700
EN BM
inner banner - published news
inner banner - published news

Kekalkan OPR membolehkan PKS menilai kesihatan kewangan- SME Bank


KUALA LUMPUR, 20 Januari- Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) akan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menilai kesihatan kewangan mereka dan membina rizab tunai bagi untuk bersedia mendepani potensi kelembapan tahun ini, yang dijangka timbul terutamanya daripada faktor luaran. BNM pada Khamis mengekalkan OPR pada 2.75 peratus dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) 2023. Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Datuk Dr Aria Putera Ismail berkata bank itu komited untuk memenuhi keperluan kewangan PKS. “Potensi untuk menghapuskan subsidi bahan api secara menyeluruh dilihat sebagai risiko peningkatan utama bagi tekanan inflasi bergantung kepada garis masa pelaksanaan dan mekanisme pelancarannya. “Oleh itu, adalah penting bagi PKS untuk proaktif dalam meramal, membuat belanjawan, dan tangkas menghadapi perubahan keadaan pasaran bagi memastikan aliran tunai yang sihat semasa persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi,” katanya. Sementara itu, Ketua Ekonomi SME Bank Lynette Lee berpendapat BNM dijangka mengekalkan OPR pada 2.75 peratus dengan jangkaan bahawa inflasi teras dan utama akan terus berkurangan pada 2023. Inflasi teras Disember 2022 berada pada 4.1 peratus manakala inflasi utama telah merosot kepada 3.8 peratus daripada paras tertinggi 4.7 peratus pada Ogos, kata Lee. “Kesan mendadak daripada pembukaan semula China, perkembangan harga komoditi global dan perubahan dalam dasar subsidi domestik mungkin memberi tekanan kepada inflasi. “Oleh itu, sebarang kenaikan OPR pada masa hadapan akan dipacu daripada data,” tambahnya.- BERNAMA

Berita RTM Online, 20 Jan 2023
https://berita.rtm.gov.my/index.php/ekonomi/55676-kekalkan-opr-membolehkan-pks-menilai-kesihatan-kewangan-sme-bank