+603 2603 7700
EN BM
inner banner - published news
inner banner - published news

Mara-SME Bank teroka sinergi lahirkan usahawan doktor


PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) meneroka sinergi baharu bersama SME Bank bagi membantu melahirkan usahawan dalam kalangan doktor. 

Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia susulan hasrat Mara untuk bekerjasama dengan agensi-agensi pembangunan usahawan yang lain untuk mewujudkan satu eko-sistem yang lebih inklusif dan berimpak tinggi. 

“Alhamdulillah ada yang menyahut, maka hari ini saya berpeluang bertemu dengan Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim.

“Saya percaya agenda memberdaya keusahawanan nasional harus wujud kebersamaan dan elakkan bekerja secara silo. Agensi-agensi kerajaan ini bersaing di dalam kumpulan sasaran yang sama dan mungkin mewujudkan golongan yang menyalahgunakan kemudahan yang ada. 

“Saya bersyukur Datuk Hardee berkongsi pandangan saya mengenai ‘breaking the silos’ dan mencipta sinergi baharu. Potensi yang boleh diterokai amat besar dan sudah pasti impaknya lebih dirasai, insya-Allah,” katanya. 

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Mara sedia membantu doktor kontrak yang tidak ditawarkan jawatan tetap untuk membuka klinik sendiri termasuk menyediakan pinjaman modal dan latihan. 

Asyraf Wajdi berkata, Mara sehingga kini sudah membantu ramai doktor dan ahli farmasi menjadi usahawan dengan membuka cawangan kemudahan itu di bawah jenama U.n.i Klinik, U.n.i Dental dan U.n.i Farmasi.

Sehubungan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), SME Bank dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dalam waktu terdekat bagi membincangkan bagaimana dana keusahawanan yang disediakan kerajaan boleh disalurkan untuk faedah doktor kontrak. – UTUSAN

Utusan Malaysia Online, 27 April 2023
https://www.utusan.com.my/nasional/2023/04/mara-sme-bank-teroka-sinergi-lahirkan-usahawan-doktor/