+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

Kenyataan Media oleh En. Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Berkenaan Pembentangan Belanjawan 2021

KUALA LUMPUR : 20 November 2020

SME Bank mengalu-alukan Belanjawan 2021 bertemakan, “TEGUH KITA, MENANG BERSAMA,” yang dibentangkan oleh YB Menteri Kewangan kerana memberi sokongan dan ruang yang luas untuk pemulihan ekonomi yang dijangka bermula pada akhir tahun ini terutama melalui peruntukan kepada semua sektor dan rakyat dari pelbagai lapisan. Ekonomi Malaysia dijangka akan pulih antara 6.5% dan 7.5% pada tahun 2021, disokong oleh asas ekonomi yang kukuh, kepelbagaian ekonomi serta suntikan dari Belanjawan 2021.

Kebiasaannya, dalam keadaan ekonomi yang sukar ini akan menyaksikan pengurangan perbelanjaan. Namun, persekitaran yang luar biasa memerlukan tindakan luar biasa dan kita melihat, kerajaan telah mengambil langkah berani untuk memastikan ekonomi terus berkembang dengan peruntukkan perbelanjaan terbesar sebanyak RM322.5 bilion.

Bagi SME Bank, kami amat berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk menerajui program Skim Lestari Bumi dengan dana sebanyak RM300 juta. Skim Lestari Bumi akan melihat SME Bank menyasarkan perusahaan mikro dan kecil bagi meningkatkan keupayaan perniagaan sekali gus memastikan mereka kekal mampan, berdaya tahan dan berani di dalam menghadapi cabaran pasaran. SME Bank juga bersedia sepenuhnya untuk terus menyokong kerajaan dalam memulihkan semula ekonomi melalui galakan adaptasi teknologi digital dan penerimaan norma baharu di kalangan PKS yang akhirnya akan menjurus ke arah pencapaian kemakmuran ekonomi.

Selain Skim Lestari Bumi yang baru diumumkan, SME Bank terus membantu PKS untuk memastikan mereka bersedia sepenuhnya dengan aliran tunai yang kukuh dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu ini. Kerajaan, melalui PENJANA juga telah memberi kepercayaan kepada SME Bank untuk menyelia tiga buah dana iaitu Dana Transformasi Teknologi PKS, skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA dan Skim Jaminan Kerajaan. SME Bank telah pun meluluskan pembiayaan bernilai RM246 juta bagi ketiga-tiga dana ini sejak ia diperkenalkan pada bulan Jun 2020.

Melalui program intervensi berstruktur SME Bank seperti Skim Anjakan Usahawan (SAU) atau i-Smart dan Business Exports Program (BEP); PKS dibimbing dan di perkasa untuk meningkatkan perniagaan yang dijalankan serta menceburi pasaran global. Sehingga 3 November 2020, 12 orang usahawan telah dimasukkan di bawah BEP dan 30 orang usahawan di bawah SAU.

20/11/2020 9:44