+603 2603 7700
EN BM

ODELA jadi Platform B2B Perluas Jaringan Perniagaan

KUALA LUMPUR : 3 Disember 2019

Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank), sebuah agensi yang berkhidmat untuk sektor PKS dan di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), melalui anak syarikatnya, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) hari ini telah melancarkan sebuah platform e-dagang ODELA, dengan kerjasama JNJ Group. ODELA akan mengubah landskap perniagaan PKS dengan menyediakan akses kepada platform e-dagang untuk perniagaan ke perniagaan (B2B) yang lebih sistematik dan berinformasi di samping mempercepatkan pertumbuhan perniagaan mereka.

YB Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan berkata, “Saya yakin platform ODELA ini akan membantu hasrat kerajaan dalam mengukuhkan ekonomi digital negara yang sememangnya akan membuka lebih banyak peluang dan membawa banyak kebaikan kepada PKS tempatan. Seiring dengan teras DKN2030 dalam menstruktur semula dan menambahbaik ekosistem keusahawanan negara, ODELA akan memainkan peranan Tanggungjawab Sosial Digital dengan menyediakan fungsi yang lengkap untuk memenuhi keperluan unik industri dan organisasi B2B.”

Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, “ODELA adalah salah satu daripada komponen Platform Digital PKS Kebangsaan yang merupakan platform perniagaan setempat berbentuk digital yang bakal mengubah cara pengendalian perniagaan PKS. Kami menyasarkan seramai 8,000 orang peniaga dan pembeli akan menggunakan ODELA dalam tahun pertama pelancarannya.”

“ODELA menggunakan teknologi baharu yang direka sebagai platform digital bagi memudahkan para usahawan melakukan transaksi dan pertukaran maklumat, membangunkan inovasi dan membolehkan perkongsian dijalankan merentasi ekosistem tanpa sempadan. Inisiatif ini akan mengubah landskap sektor PKS negara yang merupakan sebahagian daripada perkhidmatan melangkaui pembiayaan yang disediakan oleh SME Bank dan CEDAR,” tambah Aria.

Menurut Fauziah Husain, Ketua Pegawai Eksekutif JNJ Group, “ODELA adalah komitmen kami kepada PKS untuk lebih maju dan kekal kompetitif di pasaran. Persekitaran industri B2B telah mengalami sebuah perubahan yang besar lebih-lebih lagi dengan revolusi generasi muda yang mengutamakan pengurusan perniagaan yang lebih cepat, mudah, selamat dan menjanjikan keuntungan.”

“Menguruskan perniagaan melalui ODELA akan membentuk Single Point of Truth (SPOT) yang merupakan ID digital sesebuah perniagaan. Dengan ODELA, perniagaan akan dibantu dari segi pengurusan kewangan, rekod jual beli, rekod pembekal dan skim latihan pembangunan keusahawanan,” tambah Fauziah.

ODELA telah dilancarkan oleh YB. Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan dan disaksikan YB. Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Ramli, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Md. Radzi, Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan.