+603 2603 7700
EN BM
inner banner - published news
inner banner - published news

OPR kekal bantu PKS nilai tahap kewangan


KUALA LUMPUR: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus membantu usahawan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menilai kesihatan kewangan dan membina rizab tunai, terutamanya dalam persediaan menghadapi potensi kelembapan ekonomi tahun ini, yang timbul khususnya daripada aspek luar.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira Dr Aria Putera Ismail, berkata institusi kewangan pembangunan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu menyambut baik keputusan berkenaan untuk membolehkan pelarasan kumulatif OPR yang lalu dinilai kesannya terhadap ekonomi.

"Sehubungan ini, SME Bank komited untuk mendukung mandatnya dalam memberi perkhidmatan kepada PKS bagi memenuhi keperluan kewangan mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aria berkata, potensi pemansuhan subsidi bahan api menyeluruh dilihat sebagai risiko peningkatan utama untuk tekanan inflasi, bergantung pada garis masa pelaksanaan dan mekanisme pelancarannya.

"Oleh itu, adalah penting bagi PKS untuk proaktif dalam merancang belanjawan, dan tangkas menghadapi perubahan keadaan pasaran untuk memastikan aliran tunai yang kukuh semasa persekitaran kadar yang lebih tinggi," katanya.

Ketua Pakar Ekonomi SME Bank, Lynette Lee, berkata BNM dijangka menghentikan sementara OPR pada 2.75 peratus dengan menjangkakan bahawa inflasi utama dan inflasi teras akan terus berkurangan pada 2023.

 

Pada masa ini, katanya inflasi teras berada pada 4.1 peratus Disember lalu, manakala inflasi utama menurun kepada 3.8 peratus daripada paras tertinggi 4.7 peratus pada bulan Ogos.

"Kesan mendadak daripada pembukaan semula sempadan China, perkembangan harga komoditi global dan perubahan dalam dasar subsidi domestik mungkin memberi tekanan kepada inflasi.

"Oleh itu, sebarang kenaikan OPR pada masa hadapan akan dipacu oleh data," katanya.

SME Bank akan terus menyokong PKS melalui pelbagai kemudahan pembiayaan dan program pembangunan usahawan yang khusus untuk memenuhi keperluan modal kerja, pembelian aset serta pembiayaan berkaitan kelestarian seperti Kemudahan Teknologi Tinggi dan Hijau (HTG), Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF), Dana Usahawan Muda 2.0 (YEF 2.0) dan Dana Promosi IBS 2.0 (IBS 2.0).

Selain itu, SME Bank juga turut menyediakan pelaburan ekuiti melalui Dana Permodalan Semula PKS sebagai langkah berterusan dalam menyokong pemulihan semula sektor PKS.

Berita Harian, 20 Jan 2023
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/01/1054390/opr-kekal-bantu-pks-nilai-tahap-kewangan