+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

Semakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Sokong Pertumbuhan Ekonomi

KUALA LUMPUR : 11 November 2022

Semakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini sebanyak 25 mata asas menjadi 2.75 peratus pada 3 November 2022 seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) adalah perlu bagi memastikan negara dapat menguruskan tekanan inflasi dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan.

Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail berkata, “Selaras dengan perkembangan global, peningkatan OPR menandakan penekanan BNM terhadap data dan pemahaman landskap ekonomi domestik dalam memutuskan semakan menaik bagi OPR. Keputusan itu disokong oleh permintaan domestik negara yang kukuh, perbelanjaan isi rumah yang sihat disokong oleh keadaan pasaran buruh yang bertambah baik dan prospek pendapatan serta peningkatan ketibaan pelancong.”

Datuk Wira Aria menambah, “Keputusan untuk menaikkan kadar OPR secara beransur-ansur akan mengelakkan serangan turun naik yang semakin meningkat akibat daripada pasaran kewangan dan pertukaran asing global selain kita mengharungi cabaran luar yang merangkumi kemungkinan pertumbuhan global yang lebih perlahan. Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada September tahun ini melaporkan inflasi negara berada pada paras 4.5 peratus (Ogos: 4.7 peratus terutamanya disebabkan oleh inflasi makanan yang meningkat pada kadar perlahan 6.8 peratus berbanding 7.2 peratus sebulan lalu). ”

Ketua Pakar Ekonomi SME Bank, Lynette Lee,  berkata, “Aktiviti ekonomi Malaysia terus mengukuh pada suku ketiga, didorong oleh permintaan domestik yang teguh. Walaupun inflasi utama berkemungkinan telah memuncak pada S3 2022, ia dijangka menjadi sederhana dan kekal tinggi menjelang 2023. Memandangkan berlakunya tekanan terhadap permintaan dan kos, unjuran inflasi lebih condong kepada peningkatan tetapi tertakluk kepada perkembangan harga komoditi global dan dasar subsidi domestik. Kami menjangkakan BNM akan menyelaraskan lagi tahap akomodasi monetari pada awal 2023 secara beransur-ansur, untuk mengimbangi risiko antara inflasi domestik dan pertumbuhan yang mampan.”

Pelanggan SME Bank digalakkan untuk berkomunikasi secara langsung dengan Pengurus Perhubungan masing-masing untuk isu-isu berkaitan pembiayaan mereka. Sebagai alternatif, mereka boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank di 03-26037700 atau e-mel  .

11/11/2022 6:01