+603 2603 7700
EN BM

Permintaan Tinggi untuk Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana Jaminan Kerajaan (IMTN) Bernilai RM600 Juta Terbitan SME Bank

KUALA LUMPUR : 15 Mac 2019

Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) telah berjaya melengkapkan rundingan penerbitan Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana dengan Jaminan Kerajaan (IMTN) berjumlah RM600 juta pada 15 Mac 2019.

Permintaan yang tinggi membolehkan SME Bank mendapatkan beberapa pelabur utama untuk menutup rundingan tersebut dengan harga kompetitif di antara mata asas 45 dan 31 melebihi Bon Kerajaan Malaysia dalam panduan harga rundingan pertengahan. IMTN tersebut mempunyai tempoh 5 dan 7 tahun dengan harga akhir di antara 4.03% hingga 4.10%.

Penerbitan sukuk ini telah menarik minat beberapa institusi kewangan dan syarikat pengurusan aset untuk menawarkan bidaan melebihi 3 kali ganda atau RM1.83 bilion daripada jumlah terbitan sebenar. Ini membuktikan keyakinan pasaran terhadap pelan transformasi digital SME Bank yang merupakan sebahagian daripada mandatnya untuk memupuk, membangunkan dan membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana di Malaysia secara menyeluruh dan berkesan seiring dengan perkembangan Industri 4.0.

Perunding Bersama bagi transaksi ini ialah AmInvestment Bank Berhad, Kuwait Finance House (M) Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad.

SME Bank dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan, yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia dan diletakkan dibawah kendalian Kementerian Pembangunan Usahawan. Sejak penubuhannya, SME Bank telah menyediakan pelbagai bantuan pembiayaan dan pembangunan usahawan kepada usahawan dari pelbagai peringkat dari syarikat pemula sehingga ke syarikat yang telah mendominasi pasaran global.