+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 Membantu Individu, Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) Dalam Menghadapi Isu Covid-19

KUALA LUMPUR : 20 March 2020

Kerajaan sangat prihatin terhadap kesan negatif yang diakibatkan oleh penularan wabak Covid-19 yang telah menjejaskan antara lain individu-individu serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Oleh itu, Kerajaan telah menyediakan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020) untuk memastikan risiko ekonomi akibat penularan wabak ini dapat ditangani dengan efektif berdasarkan strategi yang telah digariskan.

Menerusi PRE2020, Kerajaan telah menyediakan beberapa tabung pembiayaan Kewangan bagi individu dan syarikat PKS yang terkesan. Selain itu, Kementerian Kewangan juga sentiasa bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia bagi memastikan pasaran modal dan kewangan terus berfungsi secara telus dan teratur. Pelbagai langkah-langkah1 telah diambil untuk memastikan individu dan syarikat PKS yang terkesan diberi sokongan yang berpatutan.

Selain peruntukan untuk membantu PKS mengekalkan operasi perniagaan, melindungi pekerjaan dan menggalakkan pelaburan domestik, bank-bank tempatan juga turut mengambil langkah-langkah untuk menyokong individu dan syarikat PKS yang terkesan. Pelbagai bantuan khas, kemudahan pinjaman, kemudahan penyusunan dan penjadualan semula (“Reschedule & Restructuring”) serta moratorium selama enam (6) bulan untuk perniagaan, PKS dan individu telah diperuntukkan.

Di samping itu, Kerajaan juga amat prihatin terhadap keadaan kesihatan rakyat Malaysia dan beberapa syarikat insurans dan pengendali takaful telah mengambil inisiatif bagi membantu meringankan beban kepada pemegang polisi mereka dengan memanjangkan faedah insurans bagi pencarum yang terkesan dengan Covid-19.

Selaras dengan arahan Kerajaan yang telah memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020, Kerajaan mengambil maklum dan prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi oleh semua pembayar cukai. Oleh itu, beberapa langkah telah diambil oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)2 bagi memastikan pembayar cukai dapat mengatur semula urusan percukaian dan seterusnya meringankan kesulitan yang mereka hadapi.

Kementerian Kewangan dan agensi-agensi di bawah Kementerian akan terus bekerjasama dengan sektor kewangan dan pelaburan untuk mengkaji pelaksanaan PRE2020 dan langkah-langkah seterusnya bagi membantu dan menyokong perniagaan dan isi rumah mengikut keperluan semasa.

YB TENGKU DATO’ SRI ZAFRUL AZIZ
Menteri Kewangan Malaysia, Putrajaya
19 Mac 2020

20/03/2020 1:45