Pengekalan OPR 2.75 peratus tanda inflasi akan berkurangan pada 2023
KUALA LUMPUR: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus memberi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ruang dan peluang untuk memenuhi keperluan kewangan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Aria Putera Ismail, keputusan itu juga membantu usahawan khususnya PKS untuk menilai kesihatan kewangan dan membina rizab tunai, terutama dalam persediaan menghadapi potensi kelembapan ekonomi tahun ini.
“Potensi pemansuhan subsidi bahan api menyeluruh dilihat sebagai risiko peningkatan utama untuk tekanan inflasi, bergantung pada garis masa pelaksanaan dan mekanisme pelancarannya.
“Oleh itu, adalah penting bagi PKS untuk proaktif dalam merancang belanjawan, dan tangkas menghadapi perubahan keadaan pasaran untuk memastikan aliran tunai yang kukuh semasa persekitaran kadar yang lebih tinggi.
“SME Bank komited untuk mendukung mandatnya dalam memberi perkhidmatan kepada PKS bagi memenuhi keperluan kewangan mereka,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pakar Ekonomi SME Bank, Lynette Lee memaklumkan, BNM dijangka menghentikan sementara OPR pada 2.75 peratus dengan menjangkakan bahawa inflasi utama dan inflasi teras akan terus berkurangan pada 2023.
“Pada masa ini, inflasi teras berada pada 4.1 peratus pada Disember 2022 manakala inflasi utama telah menurun kepada 3.8 peratus daripada paras tertinggi 4.7 peratus pada bulan Ogos.
“Kesan mendadak daripada pembukaan semula sempadan China, perkembangan harga komoditi global dan perubahan dalam dasar subsidi domestik mungkin memberi tekanan kepada inflasi.
“Oleh itu, sebarang kenaikan OPR pada masa hadapan akan dipacu oleh data,” tambahnya.
SME Bank juga menyatakan komitmen untuk terus menyokong PKS melalui pelbagai kemudahan pembiayaan dan program pembangunan usahawan yang khusus untuk memenuhi keperluan modal kerja, pembelian aset serta pembiayaan berkaitan kelestarian.
Ia seperti Kemudahan Teknologi Tinggi dan Hijau (HTG), Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF), Dana Usahawan Muda 2.0 (YEF 2.0) dan Dana Promosi IBS 2.0 (IBS 2.0).
Selain itu, SME Bank juga turut menyediakan pelaburan ekuiti melalui Dana Permodalan Semula PKS sebagai langkah berterusan dalam menyokong pemulihan semula sektor PKS.