+603 2603 7700
EN BM

RM600 Juta Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana dengan Jaminan Kerajaan (IMTN) Rangsang Pembangunan PKS

KUALA LUMPUR : 22 Mac 2019

Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank), sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) telah berjaya menerbitkan Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana dengan Jaminan Kerajaan (IMTN) berjumlah RM600 juta pada 22 Mac 2019.

Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, “IMTN tersebut diterbitkan di bawah prinsip Wakalah dengan komoditi sebagai aset dasar dan merupakan terbitan kelima daripada Program IMTN bernilai RM3.0 billion. Hasil daripada terbitan Sukuk ini akan digunakan untuk membiayai modal kerja berlandaskan Syariah untuk usahawan PKS.”

Aria menambah, “Pihak Bank telah berjaya mengukuhkan harga rundingan seiring dengan permintaan yang menggalakkan daripada institusi kewangan dan syarikat pengurusan aset. Ini membuktikan sokongan padu oleh kerajaan yang berlandaskan penekanan untuk memudahkan agenda sosioekonomi SME Bank dalam membangunkan sektor PKS. Selain itu, RAM Ratings juga telah mengesahkan semula Penarafan Institusi Kewangan AAA/Stabil/P1 ke atas SME Bank dan ini menunjukkan keyakinan penuh kerajaan terhadap SME Bank dalam memainkan peranan memupuk dan membangunkan PKS.

Sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan, SME Bank terus komited untuk memenuhi dan memberi bantuan pembiayaan bagi pembangunan usahawan PKS yang tidak atau kurang mendapat bantuan seperti yang dimandatkan oleh kerajaan melalui program transformasi digitalnya. Sehingga kini, SME Bank telah meluluskan pembiayaan lebih daripada RM29 billion kepada lebih 17,000 orang pelanggan.

Selain kemudahan pembiayaan, inisiatif Upward Migration di bawah program Intervensi Spesifik SME Bank telah memanfaatkan lebih 1,200 orang usahawan PKS sekaligus melahirkan lebih ramai usahawan yang mampan di Malaysia. SME Bank melalui anak syarikat milik penuhnya Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) telah berjaya melatih lebih 36,000 peserta sejak penubuhannya pada tahun 2013 dan bertindak sebagai pelengkap kepada peranan SME Bank dalam meningkatkan keupayaan dan pembangunan PKS.