+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

Program SME Bank “90-Days Biz Challenge” Lahirkan Usahawan Muda Berkaliber

KUALA LUMPUR : 8 Julai 2019

Program SME Bank 90-Days Biz Challenge yang diadakan dua tahun sekali anjuran SME Bank, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Malaysia terus menjadi platform untuk melahirkan usahawan-usahawan muda yang mampu mengendalikan perniagaan mereka dengan baik dan meraih pendapatan yang konsisten.

Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, “Secara keseluruhannya, 20 finalis SME Bank 90-Days Biz Challenge pada tahun ini telah berjaya meraih jumlah keuntungan bersih berjumlah RM102,829.26 dalam hanya empat bulan pertandingan. Ini adalah satu permulaan yang baik memandangkan para peserta pertandingan ini masih lagi sedang belajar dan tidak mampu menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan yang dijalankan.”

Aria menambah, “SMT Empire Resources daripada Kolej Komuniti Paya Besar, Pahang yang merupakan juara pertandingan ini bagi tahun 2015 masih lagi menjalankan perniagaan mereka walaupun setelah tamat pengajian. Setakat ini mereka telah berjaya meraih pendapatan antara RM30,000-RM40,000 sebulan. Juara tahun 2017 pula, Annisaa Enterprise dari Kolej Komuniti Tawau turut meneruskan perniagaan menjual kerepek dan makanan laut kering dengan mencapai jumlah pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan. Ini menunjukkan satu perkembangan yang positif.”

Untuk mengembangkan lagi pencapaian pertandingan yang dianjurkan, bermula tahun ini, pertandingan 90-Days Biz Challenge telah dibuka kepada para pelajar Politeknik di seluruh negara selain daripada pelajar Kolej Komuniti. Pertandingan ini telah dianjurkan secara atas talian di mana para peserta perlu menghantar kertas rancangan perniagaan melalui portal www.YourSuccessOurStory.com. 192 penyertaan dengan penglibatan seramai 768 orang pelajar telah diterima. Ini adalah peningkatan penyertaan sebanyak 120% berbanding edisi tahun 2017.

Selain itu, para peserta juga perlu memuat naik video perkembangan perniagaan sebanyak dua kali di sepanjang pertandingan untuk diundi oleh orang awam di Facebook SME Bank untuk mendapatkan markah tambahan. Jumlah undian ‘LIKE’ yang telah dicatatkan di sepanjang pertandingan ini ialah 101,768 menunjukkan peningkatan sebanyak 459% daripada jumlah undian ‘LIKE’ pada tahun 2017 iaitu 18,194.

Untuk membantu para peserta mengembangkan perniagaan masing-masing, SME Bank turut berkolaborasi bersama Astro Awani melalui program tv SUKSES@90-Days Biz Challenge dengan memaparkan kisah perjalanan 20 finalis pertandingan ini. SUKSES yang memasuki musim ketiga ini merupakan satu program tv yang asalnya memaparkan kisah, pengalaman dan kejayaan para usahawan PKS di seluruh negara. SUKSES@90-Days Business Challenge ini ditayangkan di saluran Awani 501, setiap Rabu pada jam 9.30 malam bermula Mei 2019 hingga Ogos 2019.

Pemilihan pemenang telah dibuat oleh panel juri yang berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan yang terdiri daripada wakil SME Bank, JPPKK, SME Corporation Malaysia, TEKUN Nasional, MARA, Johor Corporation dan Bank Rakyat. Penilaian pemenang dibuat berdasarkan aspek pasaran, kewangan, pengurusan dan juga teknikal. Keputusan pemenang telah diaudit oleh sebuah firma akauntan profesional yang dilantik oleh SME Bank.

Wang sebanyak RM45,000 telah disediakan untuk para pemenang. Juara pertandingan membawa pulang wang tunai RM20,000, naib juara RM15,000, dan tempat ketiga berjumlah RM10,000 berserta trofi dan sijil penyertaan.

Sebagai nilai tambah, kesemua peserta program ini secara automatik akan menjadi ahli Alumni Program Usahawan Muda SME Bank 90-Days Biz Challenge. Sehingga kini, alumni ini telah mempunyai seramai 1,324 ahli. Sebagai ahli Alumni, mereka mendapat pelbagai akses kepada maklumat tentang pembiayaan serta berpeluang untuk mengikuti program-program keusahawanan yang dianjurkan oleh SME Bank, kementerian dan juga agensinya.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB. Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan (MED) dan turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi, Ketua Setiausaha MED.

Hadiah

Nama Kolej

Nama Kumpulan

Juara

RM20,000 Wang tunai, Piala Pusingan, Trofi & Sijil

Kolej Komuniti Jerantut

Bosskoi Resources

Tempat Ke-2

RM15,000 Wang tunai, Trofi & Sijil

Kolej Komuniti Sg Petani

Lite and Sweet Resources

Tempat Ke-3

RM10,000 Wang tunai, Trofi & Sijil

Kolej Komuniti Baling

Twenty Four Success Enterprise

 

90DaysBizChallenge 2

Aria Putera Ismail, Group President/CEO SME Bank (Centre) and YB. Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, Minister of Entrepreneur Development together with the winners of SME Bank 90-Days Biz Challenge 2019
08/07/2019 2:47