+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

SME Bank Tanggung RM3.45 Juta Bayaran Sewa Bantu Ringan Beban Usahawan PKS Terkesan Pandemik Covid-19

KUALA LUMPUR : 9 September 2020

Seramai 230 penyewa Kompleks Premis Usahawan SME Bank kini tidak perlu membayar sewa bagi tempoh moratorium April hingga September 2020 apabila SME Bank mengambil langkah untuk menanggung bayaran sewa bagi tempoh tersebut. Selain itu, mereka juga akan diberi pengurangan bayaran sewa sebanyak 50% bagi tempoh 6 bulan berikutnya, dari Oktober 2020 hingga Mac 2021.

YB Dato Sri Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata ‘inisiatif pengecualian bayaran sewa bagi tempoh April hingga September 2020 ini akan memberikan penjimatan kos operasi sebanyak RM2.3 juta. Manakala, bagi diskaun 50% untuk bayaran sewa bagi tempoh enam bulan seterusnya pula akan memberikan penjimatan lebih RM1.15 juta kepada penyewa.’

Langkah-langkah SME Bank ini adalah seiring dengan pengumuman 29 inisiatif jangka pendek dan sederhana yang diambil oleh MEDAC dalam membantu lebih 20,000 orang usahawan PKS kembali meningkatkan semula prestasi perniagaan mereka yang terjejas akibat COVID-19.

Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, “Bagi memudahkan proses, inisiatif ini akan dijalankan secara automatik dan penyewa tidak perlu membuat sebarang permohonan. Untuk penyewa yang terus membayar semasa tempoh moratorium ini, bayaran mereka akan dibawa ke hadapan. Kompleks Premis Usahawan SME Bank merupakan salah satu kemudahan menjangkaui pembiayaan yang disediakan oleh pihak Bank khusus untuk usahawan PKS tempatan. Kompleks yang terletak di 26 lokasi strategik seluruh negara ini menawarkan 454 buah lot kilang.  Lot-lot kilang ini disewakan pada kadar yang berpatutan dan kompetitif.”

Tambah Aria, “SME Bank sangat proaktif dalam memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan efisien kepada usahawan PKS yang terkesan akibat pandemik COVID-19. SME Bank telah memperkenalkan Program Kemudahan PKS (SME Relief Program (SRP)) bagi mengurangkan beban kewangan usahawan PKS yang bersasar,  memperuntukkan dana bernilai RM2.1 bilion bagi Skim SME Go dan Dana Transformasi Teknologi PKS (STTF) di bawah PENJANA serta menyediakan pelbagai dana lain yang diumumkan Kerajaan melalui PRIHATIN seperti Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Agromakanan, Kemudahan Automasi dan Digital (ADF) dan Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES).”

Penyewa Kompleks Premis Usahawan SME Bank yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kemudahan ini boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 03-2603 7700 atau pegawai kami di cawangan mereka untuk keterangan lanjut.

09/09/2020 1:22