+603 2603 7700
EN BM

SME Bank Bina Asas Kukuh Sokong Pembangunan PKS

KUALA LUMPUR : 29 Julai 2020

SME Bank telah membina asas kukuh bagi menyokong pembangunan usahawan PKS hasil daripada kejayaan Program Pemecutan Dua-tahunnya yang merangkumi inisiatif transformasi digital, pemulihan berstrategi dan pengurusan akaun yang lebih baik dan berkesan.

Pengerusi SME Bank, YBhg. Dato’ Seri Nazir Ariff berkata, “Inisiatif yang dijalankan oleh pengurusan SME Bank ini membuahkan hasil apabila pihak Bank mencatatkan prestasi baik bagi tahun kewangan berakhir 2019 setelah mencapai keuntungan tertinggi sebelum cukai dan zakat sebanyak RM213.9 juta serta meluluskan pembiayaan bernilai RM2.1 bilion kepada 529 orang usahawan PKS pada tahun tersebut. Selain itu, SME Bank turut mencatat portfolio pembiayaan kasar sebanyak RM6.4 bilion.”

YBhg. Dato’ Seri Nazir menambah, “Kejayaan yang dicapai ini merupakan bukti terhadap komitmen yang diberikan SME Bank dalam menyokong usaha Kerajaan untuk mewujudkan ekosistem PKS yang kukuh dan berdaya saing. Kestabilan operasi SME Bank ini juga akan membantu Kerajaan dalam menjayakan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi Pasca COVID-19 yang merupakan usaha Kerajaan dalam memastikan sektor PKS terus bertahan setelah dilanda krisis ini. Sokongan daripada agensi seperti SME Bank akan mempercepatkan proses pemulihan dan pembangunan semula ekonomi negara.”

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail dalam kenyataannya, “Bertindak atas pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh Kerajaan, SME Bank melalui PRIHATIN, telah berjaya meluluskan sebanyak 940 permohonan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) yang bernilai RM503.04 juta. Selain SRF, setakat 28 Julai 2020, SME Bank turut memproses sebanyak 15 permohonan AgroMakanan (AF) bernilai RM7.83 juta. Ini merupakan antara dana-dana yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membantu usahawan yang terjejas akibat krisis COVID-19 di samping Kemudahan Automasi dan Digital (ADF) dan Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) yang turut ditawarkan oleh SME Bank.”

Aria menambah, “Di bawah PENJANA, SME Bank telah diberi kepercayaan untuk menguruskan dua buah dana penting dalam usaha menyokong kelangsungan PKS dari sektor pembinaan, perkhidmatan dan pembuatan selepas krisis COVID-19 ini berakhir. Kami telah memperuntukkan dana sebanyak RM1.6 bilion untuk Skim SME Go dan RM500 juta bagi Dana Transformasi Teknologi PKS (STTF).”

Aria berkata, “Impak daripada program transformasi digital yang dilaksanakan, SME Bank telah berjaya meningkatkan kecekapan operasi dan kualiti perkhidmatan dengan mengurangkan proses berulang serta memanfaatkan pendigitalan sebagai penyelesaian pembiayaan. Langkah ini telah membantu pihak Bank dalam memendekkan proses permohonan terutamanya sewaktu krisis COVID-19 di mana usahawan PKS memerlukan bantuan kewangan dengan pantas.”

Pada tahun 2019, SME Bank telah melancarkan inisiatif Platform Digital PKS Kebangsaan (PDPK) yang telah diiktiraf oleh Majlis Pembangunan Nasional dan Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan. Platform ini juga telah memenangi anugerah Projek Pembangunan Terbaik kategori Pembangunan Teknologi dari Association of Development Financing Institutions in Asia and the Pacific (ADFIAP) baru-baru ini.  ScoreXcess, sebuah portal yang dipacu oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) telah memudahkan usahawan PKS memohon pembiayaan mikro dan kecil dengan lebih cepat dan efisien. Sejak dilancarkan pada 30 September 2019, dan sehingga 3 Julai 2020, ScoreXcess telah menerima sebanyak 1001 permohonan dan pembiayaan bernilai lebih RM18 juta telah disalurkan kepada rakan strategik kami untuk diproses.

Aplikasi kedua, ODELA yang dilancarkan pada 3 Disember 2019 merupakan sebuah platform jaringan pertama yang disokong oleh sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) yang menghubungkan perniagaan-kepada-perniagaan (B2B). ODELA disasarkan untuk mencapai transaksi sebanyak RM9.8 bilion dalam tempoh lima tahun dan sejak Disember 2019 sehingga kini, lebih RM440,000 transaksi telah direkodkan.

Selain bantuan kewangan, sokongan dari sudut pembangunan kapasiti dan keupayaan juga penting bagi memastikan usahawan yang terkesan mampu mengubah pelan perniagaan secepat mungkin agar boleh disesuaikan dengan keadaan ekonomi sekarang. Anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) telah menganjurkan 19 program dalam talian sepanjang tempoh PKP yang melibatkan lebih 10,000 peserta. CEDAR juga telah aktif berkongsi tips keusahawanan melalui platform media sosialnya. Sejak ditubuhkan pada tahun 2013, CEDAR telah melatih lebih 43,000 orang peserta dan pada tahun 2019, seramai 2,310 orang peserta telah mengikuti 126 sesi latihan keusahawanannya.

Melalui Belanjawan 2019, SME Bank telah menyediakan kemudahan Tabung Khas Pelancongan (SFT3) yang berjumlah RM500 juta. Sehingga 30 Mei 2020, SME Bank telah meluluskan pembiayaan SFT3 bernilai lebih RM284.08 juta untuk usahawan sektor pelancongan. Pembiayaan SFT3 ini akan terus ditawarkan sehingga dana ini habis diluluskan sepenuhnya.

Dari segi pembangunan kapasiti usahawan, SME Bank telah menganjurkan Program Best Exporters (BEP), satu lagi inisiatif melangkaui pembiayaan yang dijayakan oleh pihak Bank dengan dua rakan strategiknya, TERAJU dan MATRADE bagi membimbing dan membangunkan usahawan eksport berjaya Malaysia. Melalui BEP, sebanyak 55 daripada 73 buah syarikat yang mengikuti program ini telah berjaya mencatatkan peningkatan hasil eksport keseluruhan sebanyak RM141.4 juta. Program ini juga telah menerima pengiktirafan Projek Pembangunan Terbaik bagi kategori Pembangunan PKS oleh ADFIAP pada tahun ini.

Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab, SME Bank juga menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Sebagai membantu meringankan beban Kerajaan dalam membendung penularan COVID-19, SME Bank telah menyumbang zakat bernilai RM300 ribu dan sumbangan korporat berjumlah RM50,000 kepada beberapa buah badan terpilih seperti hospital awam, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia. Bagi tahun 2019, buat pertama kalinya, SME Bank telah bekerjasama dengan rakan strategik terpilih dari hospital dan institusi pengajian tinggi awam bagi mengagihkan zakat perniagaan bernilai RM1.6 juta. Zakat ini telah digunakan untuk menampung kos perbelanjaan perubatan serta yuran pendidikan bagi golongan asnaf.

Usaha berterusan SME Bank dalam membantu usahawan PKS negara melalui pelbagai kemudahan pembiayaan dan pembangunan usahawan telah mendapat pengiktirafan apabila SME Bank telah diberi penarafan institusi kewangan AAA dengan tinjauan stabil oleh Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) pada tahun 2019.  

Tiga inisiatif SME Bank pada tahun 2019 turut menerima anugerah dari ADFIAP sewaktu Mesyuarat Agong ke-42 yang berlangsung di Oman pada 20-22 Februari 2019. Tiga anugerah yang diterima ialah Anugerah Merit untuk Projek Pembangunan Terbaik di bawah Projek Tanggungjawab Korporat SME Bank Y-Biz Challenge dan dua Anugerah Khas iaitu Laporan Kemampanan Terbaik dan Laman Web Terbaik. Di samping itu, SME Bank juga menerima Anugerah Prestasi Tinggi dari Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) serta Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2018 (Anugerah Perak) yang diterima daripada Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH).