SME Bank Business Export Berjaya Menarik 83 Syarikat, Jana Lebih RM192 Juta Jumlah Jualan Eksport Ke Pasaran Global Utama
KUALA LUMPUR: 10 Disember 2024 – SME Bank Malaysia Berhad (“SME Bank”) dengan sukacitanya mengumumkan bahawa inisiatif Business Export Programme (“BEP”) SME Bank telah berjaya menarik penyertaan daripada 83 syarikat. Inisiatif tersebut telah menjana lebih RM192 juta jumlah jualan eksport keseluruhan ke pasaran global utama seperti Asia Tenggara, United Arab Emirates, United Kingdom, Amerika Syarikat dan lain-lain.
Dilancarkan pada tahun 2020, BEP adalah program intervensi berstruktur yang digerakkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (“KUSKOP”) dan SME Bank sebagai agensi pelaksana, dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (“MATRADE”). Program ini bertujuan untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (“PKS”) berprestasi tinggi untuk menembusi atau mengukuhkan kedudukan mereka di pasaran eksport. PKS yang menyertai program ini terlibat dalam proses saringan ketat, latihan, dan penilaian prestasi berdasarkan ciri-ciri yang sejajar dengan objektif program.
YB Datuk Ewon Benedick, Menteri KUSKOP berkata, “Kementerian mengiktiraf peranan penting segmen PKS sebagai tulang belakang ekonomi negara kerana mereka membentuk sebahagian besar daripada hasil perniagaan, di mana PKS menyumbang RM613.1 bilion atau 39.1% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (“KDNK”) Malaysia pada tahun 2023. Justeru itu, kami sentiasa mengalu-alukan inisiatif strategik yang dapat memperkukuhkan kedudukan PKS kita bukan sahaja di pasaran domestik, tetapi juga di peringkat antarabangsa, selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional (“DKN”) 2030.”
“BEP menyokong salah satu teras strategik DKN 2030 – Pengantarabangsaan Usahawan Tempatan, dan dengan itu saya berbesar hati melihat agensi kerajaan seperti SME Bank mengukuhkan lagi mandat mereka untuk terus memacu perkembangan ekosistem PKS,” tambah YB Datuk Ewon Benedick.
Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, “BEP adalah program komprehensif yang mengenal pasti dan melengkapkan PKS berpotensi tinggi untuk berkembang maju di pasaran antarabangsa. Program ini distrukturkan melalui empat fasa sejak pelancarannya pada tahun 2020. Hari ini adalah detik yang penting bagi SME Bank, di mana kita telah menyaksikan sebanyak 43 syarikat daripada dua fasa pertama berjaya menamatkan program BEP, yang disambut dalam majlis graduasi pada hari ini.Sementara itu, peserta-peserta lain yang merangkumi 40 syarikat tempatan adalah dijadualkan untuk menamatkan program ini menjelang 2026.”
“Sokongan kami kepada PKS tempatan untuk mengembangkan kedudukan mereka di pasaran antarabangsa adalah tidak terhad kepada program BEP sahaja. Mereka juga boleh memanfaatkan pelbagai khidmat tawaran SME Bank yang disediakan seperti kemudahan pembiayaan bagi membantu mengembangkan perniagaan mereka. Antaranya merupakan program-program yang diumumkan dalam Belanjawan Negara 2025 adalah seperti Program Jaguh Serantau (RM200 juta), Program Pembiayaan HalalBiz (RM100 juta), Dana Transformasi Teknologi PKS (RM400 juta), serta Dana Kelestarian Alam (RM100 juta). Ini adalah selaras dengan komitmen kami yang berterusan untuk terus menyokong perkembangan usahawan PKS,” jelas Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim.
Majlis graduasi inisiatif BEP telah disempurnakan oleh YB Datuk Ewon Benedick, Menteri KUSKOP. Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Muslim Hussain, Pengerusi SME Bank dan YBhg. Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, serta barisan pengurusan kanan SME Bank.
Untuk maklumat lanjut mengenai SME Bank serta pembiayaan dan program yang ditawarkan, sila layari www.smebank.com.my atau hubungi 03-26037700.