+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

Kolaborasi SME Bank-Celcom Bakal Lahirkan Jaguh PKS Dalam Sektor Telekomunikasi

KUALA LUMPUR : 12 November 2019

SME Bank, peneraju utama Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) dan sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan hari ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Celcom Axiata Berhad (Celcom) untuk melahirkan jaguh usahawan PKS dalam sektor telekomunikasi negara.

Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, “Kolaborasi ini telah membuka peluang kepada usahawan PKS yang merupakan kontraktor, vendor dan pembekal yang berdaftar dengan Celcom, mendapat akses kepada kemudahan pembiayaan bernilai RM100 juta yang disediakan oleh SME Bank. Kemudahan yang ditawarkan ini adalah dalam bentuk Pembiayaan Kontrak, Modal Kerja dan/atau Pembelian Aset. Selain itu, anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) juga akan menjalankan program pembangunan khusus untuk usahawan-usahawan yang berdaftar dengan Celcom dan juga mereka yang terlibat dalam sektor telekomunikasi secara amnya.”

Aria menambah, “SME Bank telah mengambil pelbagai langkah untuk membangunkan PKS negara. Yang terbaru ialah inisiatif Platform Digital PKS Kebangsaan di mana SME Bank melalui CEDAR telah melancarkan platform digital ScoreXcess bagi memudahkan usahawan-usahawan PKS bersaiz mikro dan kecil untuk mendapat kemudahan pembiayaan daripada pelbagai agensi atau organisasi kerajaan. Dengan menggunakan Kecerdasan Buatan (AI), ScoreXcess akan menilai keupayaan serta keperluan PKS tersebut dan memadankannya dengan produk pembiayaan yang bersesuaian. Selain daripada ScoreXcess, SME Bank akan melancarkan beberapa lagi inisiatif digital di dalam masa terdekat”.

Idham Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad berkata Celcom amat mengalu-alukan kerjasama dengan organisasi seperti SME Bank bagi menambah kemampanan Program Pembangunan Vendor yang dijalankan oleh Celcom sejak tahun 2016. “Sepanjang pelaksanaan program tersebut, kami menyedari bahawa antara kekangan dalam pertumbuhan PKS yang terbabit ialah akses kepada kemudahan kewangan. Oleh itu kami amat berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama ini bersama SME Bank dalam menyokong program yang kami jalankan bagi memastikan perkembangan yang lebih memberangsangkan di kalangan PKS yang berdaftar dengan Celcom.

“Sebagai sebuah syarikat yang giat menjalankan usaha dalam memajukan masyarakat, kami ingin vendor kami turut berkembang bersama Celcom, serta mempersediakan mereka untuk menghadapi pelbagai cabaran seperti mengadaptasi teknologi yang mungkin menjadi bebanan daripada segi kos kepada PKS. Dengan kerjasama bersama SME Bank ini, mereka bukan sahaja mendapat akses kepada pembiayaan, malah berpeluang mendapatkan konsultasi pakar dalam pengendalian pinjaman perniagaan mereka”, kata Idham lagi.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) ini telah disaksikan oleh YB Datuk Wira Dr. Mohd. Hatta Ramli, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan. Menandatangani MoU bagi pihak SME Bank ialah Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif, SME Bank manakala Mohamad Idham Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom menandatangani MoU ini bagi pihak Celcom.

  MoU SME Bank Celcom

YB Datuk Wira Dr. Mohd. Hatta Ramli, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan (Three from right) witnessing the signing ceremony of the MoU between SME Bank and Celcom. Signing on behalf of SME Bank is Aria Putera Ismail, Group President / Chief Executive Officer (second from right) and Mohamad Idham Nawawi, Chief Executive Officer of Celcom signed the MoU on behalf of Celcom (third from left) together with the VIPs.

12/11/2019 2:35