+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

SME Bank Sambut Ulang Tahun Ke-10 Cedar, Lancar Program Pembangunan Perusahaan Sosial

KUALA LUMPUR : 20 Jun 2023

Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (“SME Bank”) hari ini meraikan Ulang Tahun ke-10 anak syarikat milik penuhnya, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (“CEDAR”), dan juga melancarkan Program Pembangunan Perusahaan Sosial SME Bank yang terdiri daripada dua inisiatif daripada Belanjawan 2023 berjumlah RM21 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Ewon Benedick berkata, “Usaha berterusan SME Bank untuk memajukan lagi usahawan PMKS melalui CEDAR merupakan bukti bahawa SME Bank sedar dan prihatin terhadap keperluan usahawan, selain daripada pembiayaan. KUSKOP mengiktiraf bahawa kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh CEDAR amat diperlukan dalam memacu pencapaian sektor ini. Dengan itu, saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa KUSKOP telah memberi kepercayaan kepada CEDAR untuk menerajui beberapa program pembangunan kapasiti keusahawanan bagi tahun 2023 dengan jumlah dana bernilai RM11.5 juta.”

Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail berkata, “CEDAR ditubuhkan pada tahun 2013 dengan visi untuk menjadi pusat kecemerlangan pembangunan dan transformasi usahawan. Sejak ditubuhkan, CEDAR telah menyokong aspirasi melangkaui pembiayaan SME Bank dan telah memanfaatkan lebih 75,000 orang peserta melalui 460 program bimbingan berasaskan penyelidikan, program pemudah cara berasaskan fungsi, dan program bimbingan yang memberi fokus kepada usahawan sejak penubuhannya.”

Mengulas mengenai inisiatif baharu yang dilancarkan khas untuk pembangunan perusahaan sosial (SE), YB Datuk Ewon menambah, “Sudah tiba masanya untuk kita menormalisasi dan mengarus perdana SE dengan menyediakan sokongan seperti pembiayaan, akreditasi dan program peningkatan kemahiran. Saya berharap aspirasi Kerajaan untuk memperkasakan PMKS termasuk perusahaan sosial dapat disampaikan dengan baik melalui kerjasama erat dan inisiatif berterusan antara KUSKOP dan agensinya. Adalah penting agar nilai positif yang didorong oleh SE disampaikan dengan jelas kepada orang awam serta penyedia dana dan pelabur, bagi mewujudkan keyakinan kepada mereka untuk terus menyokong pertumbuhan SE.”

Beliau juga menyatakan bahawa KUSKOP kini telah merekodkan 511 buah SE berdaftar, di mana 59 daripadanya adalah di bawah kategori SE Diakreditasi dan selebihnya didaftarkan di bawah kategori SE Asas. Melalui SEMy2030, Kerajaan menyasarkan untuk mencapai sejumlah 5,000 perusahaan SE yang berdaftar menjelang 2025 dan 20% daripada jumlah pendaftaran ini akan mendapat akreditasi.

Datuk Wira Aria seterusnya menjelaskan bahawa Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM20 juta kepada SME Bank untuk Skim Pembiayaan Perusahaan Sosial, yang menyediakan bantuan kewangan untuk Perusahaan Sosial Asas dan Perusahaan Sosial Diakreditasi yang diiktiraf oleh KUSKOP untuk membiayai pemerolehan aset dan/atau modal kerja. CEDAR juga memainkan peranan dalam pembinaan kapasiti untuk menyokong pendaftaran akreditasi perusahaan sosial melalui Skim Juara Lestari dengan peruntukan dana sebanyak RM1 juta.

Turut hadir pada majlis sambutan ulang tahun itu ialah Ketua Setiausaha KUSKUP, YBhg. Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan KUSKOP, Puan Noor Afifah binti Abdul Razak.

PMKS dan perusahaan sosial yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Program Pembangunan Perusahaan Sosial SME Bank serta program pembiayaan dan latihan keusahawanan lain yang disediakan oleh SME Bank dan CEDAR boleh menghubungi Pusat Panggilan Pelanggan SME Bank di 03-26037700 atau layari laman web rasmi di www.smebank.com.my atau www.cedar.my.

 

20/06/2023 6:59