SME Bank Teruskan Bantuan Kepada Pelanggan Terkesan Banjir
SME Bank telah mengambil keputusan memberi penangguhan bayaran selama enam bulan kepada 59 orang pelanggannya yang terkesan dengan bencana banjir melibatkan nilai pembiayaan sebanyak RM146 juta di bawah Program Bantuan Banjir SME Bank. Selain itu, SME Bank juga telah menyalurkan sumbangan bernilai lebih RM100,000 melalui kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan Islamic Relief Malaysia (IRM).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), YB Tan Sri Noh Haji Omar berkata, “Tempoh tamat penangguhan bayaran untuk kesemua 59 orang usahawan PKS yang layak ini adalah pada bulan September 2022. Jumlah usahawan yang terlibat pula mungkin akan bertambah berdasarkan bilangan pelanggan yang mungkin akan terjejas sekiranya berlaku lagi bencana banjir di masa yang terdekat ini. Di samping itu, SME Bank turut memberikan pengecualian bayaran sewa melibatkan 41 unit kilang usahawan PKS di Kompleks Premis Usahawan SME Bank Shah Alam yang turut terlibat dalam bencana ini. Inisiatif pengecualian bayaran sewa yang berjumlah RM230 ribu ini adalah untuk tempoh selama dua bulan bermula Januari 2022 hingga Februari 2022. SME Bank juga turut menawarkan pelbagai bantuan pembiayaan yang bersesuaian kepada keluarga usahawan yang terkesan banjir.”
Tan Sri Noh menambah, “Program Bantuan Banjir SME Bank ini telah dibuka dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Mac 2022. Oleh itu, saya menggesa semua pelanggan SME Bank yang memerlukan bantuan disebabkan banjir untuk tampil ke hadapan dan menghubungi pihak SME Bank dengan kadar segera. Tindakan proaktif yang diambil oleh SME Bank dalam menghulurkan bantuan segera kepada usahawan PKS yang terkesan adalah seiring dengan amanat yang diberikan oleh Kerajaan. Kita mahu agar tiada satu pun mangsa bencana alam ini yang tertinggal daripada menerima sokongan dan bantuan agar mereka dapat kembali bangkit meneruskan perniagaan selepas bencana ini berakhir.”
Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, “Selain daripada kemudahan tersebut, SME Bank juga bertindak pantas dalam membantu mangsa-mangsa banjir dengan menghantar sukarelawan bagi membersihkan beberapa buah rumah termasuk rumah kakitangan SME Bank sendiri. Selain bantuan ini, Kelab Sukan dan Rekreasi SME Bank turut membuat kutipan barangan keperluan harian dan pakaian yang diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir.”
Ulas Aria, “Wang tunai berjumlah RM100,000 tersebut telah diagihkan ke Tabung Khas Bantuan Usahawan dan Koperasi MEDAC termasuk RM20,000 untuk inisiatif yang dilaksanakan oleh Islamic Relief Malaysia. SME Bank juga turut menyumbangkan barangan perlu untuk kegunaan mangsa banjir melalui program yang dilaksanakan bersama MEDAC.”
“Selain sumbangan wang tunai dan barangan serta menyediakan penangguhan bayaran kepada PKS dan juga pengecualian sewa kepada penyewa di Kompleks Premis Usahawan SME Bank, anak syarikat kami, Centre For Entrepreneur Development And Research Sdn. Bhd. (CEDAR) turut bersedia untuk menyalurkan khidmat nasihat tentang penstrukturan semula rancangan perniagaan serta lain-lain latihan pembangunan usahawan yang bersesuaian bagi membolehkan usahawan kembali beroperasi sejurus keadaan kembali pulih,” tambah Aria.
Untuk maklumat lanjut tentang bantuan ini, usahawan yang terlibat dengan bencana banjir boleh berhubung dengan Pengurus Perhubungan masing-masing atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank di 03-26037700 atau layari laman web rasmi www.smebank.com.my dan media sosial rasmi SME Bank untuk maklumat lanjut. Bantuan penangguhan bayaran ini tertakluk kepada terma dan syarat.