+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

SME Bank Agih lebih RM25 Juta Zakat kepada Golongan Asnaf sejak 2009

KUALA LUMPUR : 12 September 2019

Sejak tahun 2009, SME Bank sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan telah membayar zakat berjumlah lebih RM25 juta dan pada hari ini sebanyak RM1.16 juta telah diagihkan kepada lapan rakan strategik yang terdiri daripada tiga buah hospital dan lima institusi pengajian tinggi awam dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Pemilihan rakan strategik penerima zakat daripada SME Bank ini adalah yang pertama kali diadakan. Hospital Kuala Lumpur, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Institut Kanser Kebangsaan masing-masing menerima zakat sebanyak RM220,000 manakala Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM) masing-masing menerima RM100,000.

Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, "Selama ini SME Bank mengagihkan zakat kepada individu secara terus selain dari membayar kepada pusat zakat setiap negeri. Kolaborasi bersama rakan strategik untuk agihan wang zakat bagi membantu golongan asnaf yang disasarkan ini adalah yang pertama untuk SME Bank. Pemilihan organisasi berkaitan sektor perubatan dan pendidikan ini adalah berdasarkan pengalaman kami dalam membantu golongan asnaf yang terdahulu. Kos untuk menampung perbelanjaan di dalam kedua-dua sektor ini telah melambung tinggi disebabkan inflasi dan persekitaran ekonomi yang tidak menentu.”

Aria menambah, “Untuk agihan kepada organisasi perubatan, pihak hospital sendiri yang akan menentukan penerimanya dan jumlah yang akan diterima oleh pesakit dan untuk kategori pendidikan pula, pihak universiti akan memberi keutamaan kepada pelajar asnaf yang mengikuti kursus berkaitan perniagaan atau keusahawanan dengan jumlah minimum CGPA 3.0 setiap semester. Semua penerima zakat ini adalah dari golongan B40.”

Bagi Wilayah Persekutuan secara khususnya, bermula pada tahun 2015, SME Bank telah mengagihkan zakat berjumlah RM3.54 juta kepada 168 orang asnaf dari pelbagai kategori. Golongan yang menerima zakat tersebut adalah ibu tunggal, warga emas, orang kelainan upaya dan anak yatim yang menepati kriteria asnaf. Antara bentuk zakat yang disumbangkan ialah untuk menampung kos sara hidup, perubatan, pembelian mesin untuk perniagaan, membaik pulih rumah dan surau serta pembayaran yuran pendidikan dan pembelian buku-buku. Selain itu, SME Bank juga menggunakan dana zakat ini semasa bulan Ramadan untuk membantu golongan asnaf di dalam dan luar negara termasuk di Syria.

Turut hadir pada majlis ini adalah wakil daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan wakil rakan strategik.

11/09/2019 2:43