SME Bank Perkasa Bahasa Kebangsaan melalui Pertandingan Tinta Sutradara
SME Bank dengan kerjasama Malay Language Culture Society of Manchester (MALECS) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan sebuah pertandingan puisi Tinta Sutradara dalam bentuk video pendek secara dalam talian dengan matlamat untuk memperkasakan bahasa kebangsaan.
Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, “SME Bank menyokong penuh inisiatif kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu dan inisiatif ini merupakan salah satu cara untuk memupuk semangat patriotisme dalam masyarakat Malaysia di seluruh dunia.”
Pertandingan Tinta Sutradara ini akan diadakan dari 6 Mac 2021 hingga 6 April 2021 dan ia terbuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas.
Penyertaan bagi pertandingan ini adalah percuma. Peserta hanya perlu memuat naik video pantun/puisi/sajak/syair/gurindam/atau seloka berdurasi 1 hingga 3 minit dalam bahasa Melayu di akaun peribadi Facebook dan/atau Instagram dengan tema “Keusahawanan Nadi Ekonomi Negara” dan berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik seperti telefon bimbit Iphone, iPad dan banyak lagi yang ditawarkan kepada 10 orang pemenang.
Untuk maklumat lanjut tentang pertandingan Tinta Sutradara, sila layari laman media sosial SME Bank - Facebook (smebank) dan Instagram (smebank_malaysia) atau emelkan pertanyaan ke [email protected].