+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

SME Bank Melangkah ke Tahun 2025 Dipacu oleh Kejayaan Tahun 2024, Salur RM3.6 Bilion Pembiayaan dan Pembangunan Kapasiti

Kuala Lumpur | 10 Februari 2025

KUALA LUMPUR: 10 Februari 2025 – SME Bank Malaysia Berhad ("SME Bank") telah berjaya menyalurkan kira-kira RM3.6 bilion dalam pembiayaan yang diluluskan untuk Tahun Kewangan 2024 (“FY2024”) dengan peningkatan sebanyak 35.1% berbanding tahun 2023. Ianya telah disalurkan kepada golongan sasar Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (“PMKS”) yang memerlukan, merangkumi sektor strategik utama termasuk Bumiputera, Teknologi & Digital, Peralihan Hijau, Halal dan Pelancongan. Inisiatif ini adalah sejajar dengan Rangka Kerja Pengukuran Prestasi (“PMF”) Bank Negara Malaysia yang menitikberatkan peranan Institusi Kewangan Pembangunan (“DFI”) dalam memberi impak pembangunan yang lebih meluas.

Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, "Selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI, kami terus memacu inisiatif pertumbuhan berimpak tinggi. Sebagai DFI yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan dan diselia oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (“KUSKOP”), kami bukan sahaja menyediakan pembiayaan, malah sokongan pembangunan kapasiti untuk PMKS di setiap peringkat pertumbuhan mereka – daripada usahawan Asnaf pada peringkat awal, sehingga kepada pengeksport yang ingin berkembang maju ke pasaran global. Kami berbangga menjadi satu-satunya DFI yang menyediakan sokongan kewangan dengan program pembangunan kapasiti berstruktur yang memastikan daya tahan perniagaan jangka panjang. Kejayaan ini membuktikan komitmen kami dalam menggerakkan peruntukan RM1.7 bilion daripada Belanjawan Negara 2024 yang disasarkan kepada segmen PMKS.”

“Melalui anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research (“CEDAR”), kami telah memberi kesan positif kepada hampir 3,400 usahawan pada tahun 2024 melalui program kapasiti dan keupayaan. Kami juga berjaya mengukuhkan lagi kedudukan SME Bank di peringkat global dengan pelantikan CEDAR sebagai Pusat Kecemerlangan ASEAN (“COE”) bagi PMKS dalam Peralihan Hijau, yang telah disenarai pendek sebagai salah satu Priority Economics Deliverables (“PED”) untuk Malaysia ASEAN Chairmanship 2025. Selain itu, CEDAR juga menganjurkan Bengkel Perdagangan dan Pelaburan Rentas Sempadan untuk Perniagaan ASEAN dan Hong Kong pada tahun 2024, menandakan pengukuhan kehadiran SME Bank di peringkat antarabangsa. Dipacu oleh pencapaian ini, kami berbesar hati menerima amanah daripada Kerajaan dengan peruntukan pembinaan kapasiti sebanyak RM2 juta yang telah diumumkan pada Belanjawan Negara 2025 yang bakal digerakkan melalui CEDAR untuk PMKS di dalam segmen pembangunan tinggi,” tambah Datuk Dr. Hardee.

Berdasarkan indikator PMF, prestasi SME Bank sepanjang 2024 adalah selaras dengan mandatnya untuk memberi perkhidmatan kepada segmen yang tidak mendapat perkhidmatan dan kurang mendapat perkhidmatan melalui pelbagai inisiatif termasuk program pembiayaan khusus bagi sektor Pelancongan dan Pembinaan serta sektor utama lain, SME Bank turut memperkasa usahawan menerusi sesi libat urus, bimbingan berstruktur dan khidmat nasihat pakar yang telah memberi manfaat kepada hampir 18,000 usahawan. Inisiatif strategik SME Bank juga telah menyumbang kepada limpahan positif ke dalam ekonomi dengan lebih 100,000 jumlah pekerjaan dijangka diwujudkan dan dikekalkan.

Prestasi sepanjang 2024 menjadi bukti pendekatan proaktif SME Bank dalam melaksanakan mandat pembangunannya. Inisiatif SME Bank terdiri daripada pelbagai inisiatif strategik berimpak tinggi yang bertujuan untuk menyediakan pembiayaan dan sokongan melangkaui pembiayaan untuk komuniti PMKS. Program Pembangunan Keusahawanan Halal telah memberi manfaat kepada lebih 130 peserta sejak diperkenalkan pada tahun 2023, manakala Program Pembangunan Vendor telah merekodkan penyertaan 106 vendor dengan jumlah kelulusan pembiayaan melebihi RM13.6 juta sejak 2022.

Setakat 2023, Program Pembangunan Vendor mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 17.5% kepada RM204 juta. Manakala setakat Disember 2024, Program Eksport Perniagaan (“BEP”), satu program intervensi berstruktur yang dirangka oleh KUSKOP telah memudahcarakan 83 syarikat dengan jumlah jualan eksport melebihi RM192 juta merentasi pasaran utama global seperti Asia Tenggara, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Bagi menyokong pertumbuhan PMKS ke peringkat global, program padanan perniagaan utama SME Bank, SME Bank XCESS, telah membantu pemain industri antarabangsa mengenal pasti dan memilih PMKS Malaysia yang berpotensi untuk meneroka pasaran eksport. Selain itu, SME Bank iTEKAD ISHRAF Bank Negara Malaysia yang menyokong aspirasi Kerajaan dalam memperkasakan komuniti B40, khususnya usahawan Asnaf telah menerima kira-kira RM5 juta dana daripada rakan kongsi strategik. Inisiatif ini telah mencatatkan peningkatan dalam bilangan peserta daripada sebanyak 20 peserta bagi ISHRAF 1.0 dalam satu negeri hingga ke 79 peserta untuk ISHRAF 2.0 merentasi enam negeri kepada 400 peserta di serata Malaysia.

Pada tahun 2025, Kerajaan terus memberi kepercayaan kepada SME Bank untuk menerajui pertumbuhan PMKS dengan program sedia ada seperti yang dimandatkan dalam Belanjawan Negara 2025. SME Bank akan memperluas sokongan pembiayaan dan sokongan melangkaui pembiayaan dengan berfokuskan keterangkuman kewangan bagi PMKS dalam sektor strategik utama seperti Bumiputera, Teknologi, Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (“ESG”), Halal serta Pelancongan. Ini adalah bertujuan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara, sekali gus memperkukuh momentum positif yang telah dicapai oleh SME Bank pada tahun 2024 dan seterusnya.

10/02/2025 8:39