+603 2603 7700
EN BM

Program Pembangunan Usahawan Kelolaan SME Bank Terima Anugerah ADFIAP

KUALA LUMPUR : 30 Oktober 2020

Dua inisiatif pembangunan usahawan di bawah SME Bank telah menerima anugerah daripada Association of Development Financing Institutions in Asia and the Pacific (ADFIAP) sempena mesyuarat agung tahunan ke-43 ADFIAP yang berlangsung secara dalam talian dari 28-29 Oktober 2020.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, “MEDAC sentiasa memberi sokongan kepada SME Bank untuk menganjurkan pelbagai program melangkaui pembiayaan bagi menyokong pembangunan usahawan PKS tempatan.”

“Komitmen yang ditunjukkan oleh SME Bank dalam mendukung mandat yang diberikan telah mendapat pengiktirafan apabila dua inisiatifnya, Program Best Exporters (BEP) memenangi anugerah Projek Pembangunan PKS Terbaik dan Platform Digital PKS Kebangsaan telah memenangi anugerah Projek Pembangunan Teknologi PKS Terbaik oleh ADFIAP,” tambah YB Dato Sri Dr.

Platform Digital PKS Kebangsaan ialah sebuah inisiatif Kerajaan yang diselia oleh SME Bank sebagai sebahagian daripada pelan transformasi dua tahunnya. Di bawah inisiatif ini, SME Bank telah memperkenalkan aplikasi ScoreXcess bagi memudahkan usahawan mikro dan kecil untuk mendapat akses pembiayaan. Aplikasi kedua di bawah platform ini ialah ODELA, yang menyediakan platform e-dagang khusus untuk perniagaan-ke-perniagaan.

Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, “SME Bank sentiasa melihat ke hadapan tentang bagaimana pihak Bank dapat membantu sektor PKS negara melalui setiap program intervensi dan inisiatif seperti Best Exporters Program yang memberi nilai tambah untuk membantu usahawan meneroka pasaran antarabangsa.”

“Keahlian SME Bank dalam ADFIAP membolehkan kami untuk saling berbincang, berkongsi pengalaman dan pendapat tentang pembangunan sektor PKS di peringkat antarabangsa. SME Bank akan terus kekal komited dalam menyediakan perkhidmatan holistik khusus untuk PKS tempatan agar kami dapat menyokong aspirasi kerajaan dalam melahirkan lebih ramai usahawan berjaya yang bertaraf antarabangsa,” tambah Aria.

ADFIAP ditubuhkan pada tahun 1976, merupakan sebuah pertubuhan yang dianggotai oleh bank pembangunan dan institusi kewangan yang terlibat dalam pembiayaan pembangunan yang terbesar dan berprestij di rantau Asia Pasifik. Keanggotaan ADFIAP terdiri daripada 87 buah institusi dari 36 buah negara termasuk Bank Pembangunan Asia (ADB) yang menjadi Anggota Khas. ADFIAP juga merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan dalam status perundingan dengan Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.