+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

SME Bank Pacu Pertumbuhan Industri Halal Di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Ke-20 Tahun 2024

20 September 2024

KUALA LUMPUR: 20 September 2024 – SME Bank Malaysia Berhad (“SME Bank”), sebagai agensi pelaksana utama bagi pavillion Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (“KUSKOP”), terus memperkukuhkan komitmen Bank untuk memperkasa serta memajukan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (“PMKS”) dalam industri Halal melalui penyertaan dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia ke-20 (“MIHAS”) 2024.

SME Bank telah menjadi penyokong kuat pameran Halal terbesar di dunia dan telah mengambil bahagian secara aktif dalam MIHAS sejak tahun 2013. Edisi tahun ini terdiri daripada penyertaan 26 usahawan Halal serta 14 syarikat francais tempatan. Pelanggan SME Bank juga turut mengambil bahagian dalam pameran tersebut, mempamerkan produk dan tawaran mereka di pavilion KUSKOP.

Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, berkata, "Kami berbesar hati untuk sekali lagi menyertai MIHAS 2024 serta menyokong sasaran pelaburan KUSKOP sebanyak RM80 juta untuk edisi tahun ini. Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk membantu PMKS dalam industri Halal yang pesat, MIHAS 2024 merupakan platform strategik untuk mempamerkan inisiatif utama kami, termasuk Program Eksport Perniagaan ("BEP"), SME Bank Umbrella Programme, Pembiayaan HalalBiz, dan Program Pembangunan Kapasiti & Keupayaan Vendor (“PPKV”). Inisiatif-inisiatif ini mengukuhkan matlamat nasional untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam Ekonomi Halal, terutamanya menerusi Pembiayaan HalalBiz kerana kami adalah salah satu institusi kewangan yang berbangga kerana telah diberi mandat dalam Belanjawan Negara 2024 untuk menggerakkan program ini bagi menyokong pertumbuhan eksport kami dalam segmen Halal."

Pada masa ini, SME Bank telah diamanahkan untuk menggerakkan pelbagai program untuk melonjakkan lagi PMKS dalam segmen Halal. Ini termasuk Program Inovasi & Teknologi Halal Program Pengantarabangsaan Usahawan Halal, Program Pembangunan Kapasiti Usahawan Industri Halal dan Program Pembangunan Kapasiti Produk Halal dengan peruntukan geran terkumpul kira-kira RM8.5 juta dalam tempoh 2023–2024.
                    
“SME Bank sentiasa memainkan peranan untuk menjadi pemangkin dalam pertumbuhan PMKS kerana mereka adalah tulang belakang negara, membentuk sebahagian besar perniagaan hari ini. Melalui inisiatif pembiayaan dan pembangunan kapasiti kami yang menyeluruh, kami berbangga menjadi saluran utama dan pemacu kepada kejayaan mereka. Kami berharap dapat merancakkan lagi pasaran dengan inisiatif kami yang akan datang, termasuk pameran perdagangan seperti FOODEX KANSAI 2024 di Jepun, CAEXPO ke-21 di China dan MIHAS 2024 di Dubai. Selain itu, program 'Let's Engage' kami bertujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan perniagaan halal," jelas Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim.

SME Bank telah mengorak langkah besar di bawah Misi Pecutan Eksport ("EAM"), menyokong pemerkasaan industri Halal berikutan permintaan global yang semakin meningkat dalam pasaran ini.  Setakat 31 Ogos 2024, BEP SME Bank, sebuah program intervensi berstruktur dengan kerjasama MATRADE dan dibiayai oleh KUSKOP, telah menerima jumlah pembiayaan sebanyak RM15 juta dan telah menerima penyertaan 84 syarikat sejak penubuhannya pada 2020. Sebanyak 48 syarikat telah menamatkan pengajian program ini baru-baru ini. Program ini telah menjana lebih RM74 juta dalam jualan eksport tambahan, dengan 65% daripada syarikat berjaya memasuki pasaran dan negara eksport baharu. BEP juga telah memudahkan penerokaan pasaran antarabangsa untuk PMKS Malaysia dengan menganjurkan lebih daripada 15 EAM di negara-negara termasuk UAE, Filipina, China, Jepun, Thailand, UK, Jerman dan Amerika Syarikat. Selain itu, program ini telah mengenal pasti syarikat berpotensi tinggi, menghasilkan RM154.94 juta kelulusan pembiayaan baharu dan tambahan untuk SME Bank.

Baru-baru ini, SME Bank XCESS 2024, acara utama yang direka untuk melonjakkan PMKS Malaysia ke pasaran global berjaya meraih kira-kira RM40 juta dari jumlah jualan setakat ini dengan unjuran jualan berpotensi kira-kira RM138 juta. Edisi tahun ini telah menghubungkan perniagaan tempatan dan 24 pembeli dari 12 negara, menawarkan platform untuk padanan perniagaan, rangkaian dan peluang pameran yang membuka jalan untuk pertumbuhan dan pengembangan di peringkat antarabangsa.

Ketahui lebih lanjut mengenai program dan inisiatif SME Bank di www.smebank.com.my, Facebook SME Bank, atau hubungi Pusat Panggilan Pelanggan SME Bank di 603-26037700.
 

20/09/2024 7:43