SME Bank Fund Fest 2024 Perkasa Usahawan PMKS, Rapatkan Jurang Pembiayaan
KUALA LUMPUR: 17 Oktober 2024 – SME Bank Malaysia Berhad (“SME Bank”) hari ini telah berjaya melancarkan SME Bank FundFest 2024, inisiatif sulung berteraskan pemerkasaan komuniti, yang bertujuan sebagai platform untuk usahawan baru, syarikat pemula yang inovatif, perniagaan yang kian berkembang untuk mendapat peluang pembiayaan dan sesi perkongsian ilmu mengenai bisnes.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (“KUSKOP”), di mana beliau mengukuhkan lagi teras Kementerian untuk memperkasakan sektor perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (“PMKS”). Berucap ketika upacara perasmian, Dato’ Sri Khairul Dzaimee berkata, “Sebahagian besar dari PMKS merupakan perusahaan mikro, menyumbang 69.7% daripada jumlah keseluruhan industri, manakala perusahaan kecil membentuk 28.5% dan perusahaan bersaiz sederhana mewakili 1.8% daripada jumlah keseluruhan. Oleh itu, adalah sangat penting untuk kita terus memupuk ekosistem yang boleh memberikan lebih nilai kepada sektor PMKS kerana mereka merupakan tunjang belakang kepada ekonomi negara. Inisiatif SME Bank FundFest 2024 ini memperkukuhkan lagi mandat SME Bank untuk terus memajukan sektor PMKS, di samping memperkukuhkan lagi peranan mereka dalam perkembangan ekonomi negara.”
YBhg. Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, “SME Bank FundFest 2024 merupakan inisiatif penting dalam menangani cabaran pembiayaan yang dihadapi oleh usahawan dan perniagaan, terutamanya perusahaan baharu. Merangkap perasmian utamanya, inisiatif ini mempunyai potensi untuk menarik ramai pengunjung yang terdiri daripada barisan usahawan, penggubal dasar dan pemimpin industri. Matlamat kami adalah untuk menyediakan sebuah platform di mana usahawan boleh berhubung dengan bakal pembiaya, mendapatkan nasihat pakar dan meneroka peluang baharu untuk memacu pertumbuhan perniagaan mereka.”
Melalui komitmen ini, SME Bank FundFest 2024 dengan kerjasama anak syarikatnya, CEDAR dan agensi lain di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (“KUSKOP”), seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, beserta Tekun, Perbadanan Usahawan Nasional, and Bank Rakyat, yang juga merupakan pembiaya SME Bank. Antara pembiaya lain yang turut mengambil bahagian dalam acara ini adalah Bank Simpanan Nasional, Funding Societies, microLEAP, MoneyMatch, pitchIN, Rural Capital Berhad. Acara ini merangkumi pelbagai aktiviti seperti konsultansi pembiayaan, di mana usahawan berpeluang menerima nasihat kewangan yang sesuai dengan keperluan mereka.
Sementara itu, dengan kerjasama lebih 20 rakan strategik SME Bank, acara dua hari ini juga menampilkan pakar industri merangkumi peer-to-peer (“P2P), modal teroka dan usahawan tempatan terkenal yang telah mencipta kejayaan dalam pasaran – mengetuai beberapa “masterclass”, menawarkan pandangan berharga tentang cara mendapatkan pembiayaan, memperluaskan perniagaan dan memanfaatkan teknologi inovatif. Di samping itu, acara ini mempamerkan usahawan dari pelbagai peringkat perniagaan untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka.
Dengan tujuan untuk memperkasa perniagaan peringkat awal, SME Bank FundFest 2024 dijangka menarik ramai pengunjung, termasuk bakal perusahaan, modal teroka, usahawan PMKS, agensi kerajaan dan pemimpin industri. Inisiatif ini memperkukuhkan mandat SME Bank sebagai agensi peneraju di bawah KUSKOP, selaras dengan perkembangan ekonomi negara melalui sokongan teguh terhadap sektor PMKS, di samping memupuk etika perniagaan inovatif.
SME Bank FundFest 2024 akan berlangsung pada 17 – 18 Oktober 2024 dari 10 pagi hingga 10 malam di Avenue K, Kuala Lumpur. Untuk maklumat lanjut mengenai program dan inisiatif SME Bank, layari www.smebank.com.my, halaman Facebook SME Bank, atau hubungi Pusat Panggilan Pelanggan SME Bank di 603-26037700