SME Bank Beri Sumbangan Kepada Komuniti Tampoi Johor Bahru Melalui Program SANTUNI MADANI
KUALA LUMPUR: 11 November 2024 – Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad ("SME Bank") menyokong program 'Satu Pemimpin Satu Kampung' Kerajaan melalui kerjasama dengan Kampung Pasir, Tampoi, Johor Bahru, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,000 penduduk kampung itu. Inisiatif ini mengetengahkan lagi dengan komitmen SME Bank dalam meningkatkan kesejahteraan dan taraf hidup masyarakat setempat.
Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, "Sejajar dengan mandat kami untuk menyediakan sokongan melangkaui pembiayaan kepada golongan sasar yang memerlukan, kami berbesar hati untuk menyahut seruan Kerajaan dengan menyokong program SANTUNI MADANI. Sebagai permulaan bagi inisiatif ini, kami berbesar hati untuk membantu 100 pelajar Kampung Pasir di 14 institusi pembelajaran yang terdiri daripada tadika, sekolah rendah dan menengah di bawah program Kembali ke Sekolah 2025 dengan sumbangan tunai berjumlah RM20,000. Selain itu, warga SME Bank dari Pusat Wilayah Selatan di Johor Bahru dan Batu Pahat turut mengambil bahagian dalam aktiviti gotong-royong untuk membersihkan kawasan utama di Kampung Pasir untuk membaik pulih persekitaran sekeliling sebagai sebahagian daripada aspirasi SME Bank untuk mencatatkan 4,648 jam sukarelawan pekerja tahun ini yang merangkumi hampir 1,200 warga SME Bank."
Datuk Hardee menambah, "Pemilihan Kampung Pasir sebagai salah satu penerima manfaat Bank menekankan komitmen kami untuk menangani jurang sosioekonomi dan sosial dalam masyarakat kita, terutamanya dalam kalangan komuniti yang memerlukan seperti Kampung Pasir, selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk memajukan lebih banyak inisiatif pemerkasaan ekonomi dan pembangunan masyarakat. Ini juga melanjutkan aspirasi perjalanan kelestarian kami iaitu untuk melaksanakan inisiatif yang menyumbang secara positif kepada masyarakat sekitar dalam jangka panjang."
Program SANTUNI MADANI merupakan inisiatif Kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan ("ICU") Jabatan Perdana Menteri. Program SANTUNI MADANI melibatkan agensi-agensi berkaitan di bawah Kerajaan untuk memilih sebuah kampung di dalam negara yang memerlukan sokongan dan bantuan secara langsung. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan taraf hidup golongan sasaran di luar bandar dan kawasan yang kurang membangun, termasuk kampung dan komuniti yang memerlukan, sejajar dengan pemerkasaan segmen ini berlandaskan prinsip Matlamat Pembangunan Lestari setempat.
Majlis perasmian disempurnakan dengan kehadiran Dato' Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa, Pertanian Negeri, Industri Asas Tani & Pembangunan Luar Bandar Johor dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor ("EXCO"). Turut hadir ialah Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim; Zaini Sinong, Ketua Kampung, Kampung Pasir bersama barisan pasukan pengurusan kanan SME Bank.
Dari 2022 hingga November 2024, SME Bank telah menyalurkan kira-kira RM3 juta melalui 17 usaha CSR, yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi, pembangunan komuniti serta pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.