+603 2603 7700
EN BM

SME Bank Tandatangani Kerjasama Penjenamaan Bersama Kedah Holdings dan MoU dengan Prowheels Distributor

KUALA LUMPUR : 1 Julai 2019

Usahawan PKS di sekitar negeri Kedah kini berpeluang memperoleh manfaat daripada program pembiayaan yang disediakan oleh SME Bank melalui satu majlis menandatangani kerjasama penjenamaan dengan Kedah Holdings Sdn. Bhd. (Kedah Holdings) dan juga memorandum persefahaman antara SME Bank dengan Prowheels Distributor (M) Sdn. Bhd. (Prowheels Distributor).

Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, “Inisiatif ini adalah salah satu usaha SME Bank untuk mempertingkat kapasiti dan keupayaan usahawan PKS terutamanya di negeri Kedah. Melalui kolaborasi dengan Kedah Holdings, kemudahan pembiayaan yang disediakan oleh SME Bank ini akan membantu membiayai projek perumahan mampu milik di sekitar Pokok Sena, Kedah yang dijalankan oleh Kedah Holdings. Selain itu, Kerjasama Penjenamaan ini juga akan menyaksikan SME Bank meletakkan logonya di atas billboard projek perumahan tersebut.”

Manakala, melalui perjanjian memorandum persefahaman dengan Prowheels Distributor pula, SME Bank akan menawarkan kemudahan pembiayaan kepada vendor-vendor yang telah terpilih dan mendapat kontrak daripada Prowheels Distributor. Melalui konsep pembiayaan ini, Prowheels Distributor akan menyaring vendor yang menepati kriteria untuk diberi kontrak atau pengendali berlesen. Seterusnya vendor yang terpilih layak memohon pembiayaan dengan SME Bank.

Aria berkata, “Pembiayaan minimum yang ditawarkan adalah sebanyak RM100,000 bagi pembelian aset serta modal kerja. Bagi memantapkan lagi aspek pembangunan kapasiti usahawan tersebut, SME Bank telah bersetuju untuk menyediakan latihan keusahawanan secara percuma kepada mereka di bawah program ini. Latihan keusahawanan ini akan disediakan oleh anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development Sdn. Bhd. (CEDAR). ”

Prowheels Distributor merupakan syarikat Bumiputera pertama yang menjadi pengedar tayar jenama ZETA dan mempunyai 74 rakan niaga pusat servis tayar dan kenderaan di seluruh Malaysia. Prowheels Distributor menggunakan konsep mentor-mentee bagi membimbing usahawan PKS terutama Bumiputera yang berminat untuk membuka kedai servis tayar dan kenderaan sendiri. Dengan adanya suntikan pembiayaan daripada SME Bank, keupayaan PKS Bumiputera terutamanya dalam sektor perkhidmatan akan dapat diperkukuhkan lagi.

SME Bank beroperasi melalui empat cawangannya di utara semenanjung iaitu di Pusat Wilayah Utara, Pusat Enterpris Alor Setar, Pusat Enterpris Seberang Jaya dan Pusat Perniagaan Bayan Baru. Pusat Wilayah Utara SME Bank telah meluluskan pembiayaan bernilai RM226 juta pada tahun 2018.

Turut hadir ialah YB. Encik Asmirul Anuar bin Aris, Pengerusi Jawantankuasa Belia & Sukan, Pelancongan, Seni & Budaya Dan Pembangunan Usahawan Negeri Kedah Darulaman.

  SME Bank MoU 1 July 2019

Dari kiri, Mohammad Majdi Mohd Ramlee, Pengarah Prowheels Distributor, Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank dan Faris Najhan Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bina Datulaman Berhad menandatangani memorandum persefahaman.