+603 2603 7700
EN BM

SME Bank Tandatangani Mou dengan Oyo Tingkat Kualiti Perkhidmatan Hotel

KUALA LUMPUR : 3 Oktober 2019

Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank), sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan hari ini telah menandatangani satu memorandum persefaham (MoU) dengan OYO Rooms Hospitality Sdn. Bhd. (OYO). Perjanjian ini memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha hotel terutamanya hotel bajet di negara ini meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.

Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, “Usahasama ini akan memberi manfaat kepada semua pengusaha hotel bajet yang merupakan pelanggan SME Bank sedia ada. Melalui MoU ini, pengusaha hotel akan mendapat akses kepada sistem perkhidmatan OYO sebagai inisiatif untuk memperbaiki dan meningkatkan standard perkhidmatan yang disediakan. Secara tidak langsung, kita dapat membantu usahawan PKS ini meningkatkan jumlah tempahan penginapan dan juga keuntungan perniagaan.”

Selain memberi nilai tambah kepada pelanggan SME Bank, MoU ini juga memberi manfaat kepada rakan perniagaan OYO. “Rakan perniagaan OYO juga berpeluang untuk mendapat akses pembiayaan dari SME Bank seperti Tabung Khas Pelancongan 3 (SFT3) iaitu pembiayaan khusus untuk sektor pelancongan, yang telah dilancarkan pada awal tahun ini. Selain itu, SME Bank turut menawarkan pembiayaan modal kerja dan pembelian aset serta program pembangunan usahawan yang disediakan oleh anak syarikat kami, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR),” tambah Aria.

Kerjasama ini diharap dapat terus meningkatkan kualiti perkhidmatan hospitaliti terutamanya untuk usahawan-usahawan PKS di Malaysia. SME Bank mempunyai visi untuk menjadi peneraju ekosistem PKS yang menyediakan perkhidmatan melangkaui pembiayaan dan ini merupakan salah satu inisiatif Bank dalam membantu meningkatkan mutu perkhidmatan hotel bajet di Malaysia.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman ini telah diadakan di Kota Kinabalu bersempena Program Outreach SME Bank Pusat Wilayah Sabah.

engagementsabah 1 1199x800

Memorandum Persefahaman di antara SME Bank dengan OYO telah ditandatangani oleh Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank (dua dari kiri), dan Tan Ming Luk, Ketua OYO Malaysia (tiga dari kiri) disaksikan oleh Mohammad Hardee Ibrahim, Ketua Pegawai Perbankan SME Bank (hujung kiri) dan Daniel Tay, Ketua Pembangunan Perniagaan OYO Asia Tenggara (hujung kanan).