+603 2603 7700
EN BM

Peserta Program ISHRAF 2.0 SME Bank Berjaya Raih Jualan Terkumpul RM3.6 Juta

KUALA LUMPUR : 21 Disember 2022

Program Keusahawanan Asnaf SME Bank atau ISHRAF 2.0 telah menunjukkan hasil apabila 79 orang peserta berjaya meraih jualan terkumpul RM3.6 juta sehingga suku ketiga 2022. Program ISHRAF 2.0 bermula pada November 2021 adalah kesinambungan ISHRAF 1.0 bertujuan meningkatkan taraf hidup peniaga Asnaf dan mikro yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Ewon Benedick berkata, “Melihat kepada pencapaian yang memberangsangkan ini, KUSKOP menyokong penuh inisiatif seperti Program ISHRAF 2.0 dan menggesa agensi-agensinya untuk terus menganjurkan program seumpama ini agar perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) boleh terus aktif menjana semula ekonomi negara. Program ISHRAF 2.0 anjuran SME Bank bukan sahaja memberi peluang untuk usahawan Asnaf dan mikro malah mengubah sosioekonomi golongan Asnaf di Malaysia.”

Tambah Datuk Ewon, “Langkah SME Bank bekerjsama dengan agensi kerajaan yang lain adalah satu langkah yang efisien dalam kita berkongsi sumber dan mengurus dana. SME Bank telah memperuntukkan dana Zakat sebanyak RM600,000.00 manakala rakan strategiknya, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM)  dan SME Corporation Malaysia (SME Corp.) masing-masing telah memperuntukkan dana sebanyak RM284,400.00 dan RM190,000.00 setiap organisasi. Penambahan dana ini membolehkan program ini memanfaatkan lebih ramai usahawan Asnaf di enam buah negeri iaitu Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berbanding edisi ISHRAF 1.0 yang hanya memberi fokus di Selangor sahaja.”

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail mengulas, “Lima peserta terbaik Program ISHRAF 2.0 telah mencatatkan purata jualan sebanyak RM22,000.00 sebulan. Secara keseluruhannya, peserta-peserta telah mencatatkan peningkatan jualan yang positif sejak menyertai Program ISHRAF 2.0 dengan purata jualan sebanyak RM5,100.00 sebulan berbanding RM3,300.00 sebulan sebelum ini”

Datuk Wira Aria berkata, “Bagi memastikan Program ISHRAF 2.0 meninggalkan impak jangka panjang, pihak Bank telah menetapkan empat penunjuk prestasi utama (KPI) iaitu peningkatan hasil jualan, jumlah pekerja, adaptasi teknologi dan penambahbaikan pasaran atau produk baharu.”

“Kami mahu peserta mencapai empat KPI ini kerana ini adalah penunjuk yang digunakan oleh usahawan sebenar di luar sana dalam mengukur tahap pencapaian perniagaan mereka. Oleh itu, kami berharap peserta Program ISHRAF 2.0 dapat menerapkan KPI sebegini dalam pengurusan perniagaan agar mereka dapat keluar daripada status Asnaf dan mampu mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi,” tambah Datuk Wira Aria.

Antara contoh kejayaan peserta Program ISHRAF 2.0 ialah Shazzuan Shah Mohd Salleh, yang berjaya meningkatkan purata jualan hampir 147% iaitu sebanyak RM17,000.00 sebulan berbanding RM6,900.00 sebelum menyertai program ini. Dengan menggunakan suntikan modal Program ISHRAF 2.0 sebanyak RM10,000.00, beliau telah berpindah ke lokasi yang lebih strategik serta memperluaskan pasaran jualan melalui aplikasi digital sekali gus meningkatkan hasil jualan.

Penganjuran ISHRAF 2.0 adalah seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu Matlamat pertama tiada kemiskinan, Matlamat ke-8 mencipta pekerjaan yang sesuai dan pertumbuhan ekonomi serta Matlamat ke-10 mengurangkan ketidaksamarataan di dalam negara dan dalam kalangan negara. Inisiatif serampang dua mata ini juga tertakluk di bawah Pelan Hala Tuju Kemampanan Tiga Tahun 2021-2023 SME Bank yang menerapkan aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi SME Bank.

Kesemua peserta ISHRAF 2.0 telah menghadiri program latihan keusahawanan tiga hari dua malam serta menjalani tiga sesi bimbingan perniagaan secara bersemuka dengan pembimbing keusahawanan sepanjang tempoh program ISHRAF 2.0 berlangsung. Antara topik yang dipelajari oleh para peserta termasuklah penyediaan pelan/model perniagaan, pemasaran digital dan pengurusan kewangan yang dikelolakan oleh Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), anak syarikat milik penuh SME Bank.

Penganjuran Program ISHRAF edisi pertama telah meraih Anugerah Merit bagi Projek Pembangunan Terbaik daripada Association of Development Financing Institutions in Asia and the Pacific (ADFIAP) pada tahun 2021. Untuk maklumat lanjut tentang Program ISHRAF dan pelbagai program pembangunan usahawan SME Bank yang lain, sila layari laman web rasmi www.smebank.com.my, Facebook SME Bank atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 03-26037700.