+603 2603 7700
EN BM
inner banner - published news
inner banner - published news

SME Bank iTEKAD ISHRAF lahirkan usahawan golongan asnaf


KUALA LUMPUR: Seramai 400 peserta golongan asnaf terpilih mengikuti program SME Bank iTEKAD ISHRAF edisi ketiga tahun ini bagi membantu usahawan mikro memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan, sekali gus menjana pendapatan yang berterusan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata program itu yang menyaksikan peningkatan drastik daripada hanya 79 peserta tahun lalu, adalah bertepatan dengan Nilai Teras Malaysia MADANI untuk membasmi kemiskinan yang menjadi agenda utama Kerajaan Perpaduan.

"Program SME Bank iTEKAD ISHRAF ini melengkapkan visi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam menjadi pemangkin kepada pembangunan kumpulan usahawan B40 dan usahawan sosial negara.

"Inisiatif ini juga seiring dengan aspirasi KUSKOP yang ingin melahirkan golongan usahawan mikro dan sosial yang bukan hanya mampan tetapi mampu mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran SME Bank iTEKAD ISHRAF 2023 di sini.

Beliau berkata, program itu yang berlangsung mulai Mac hingga Jun ini diharap bakal menjadi perintis kepada pelbagai lagi program pemerkasaan usahawan sosial dan pembangunan golongan B40 dan asnaf.

 

"Saya berharap 400 orang peserta yang terpilih untuk mengikuti program bagi tahun ini tidak mudah berputus asa. Saudara, saudari sendiri adalah penentu kepada masa hadapan untuk berubah daripada penerima zakat kepada penyumbang zakat," katanya.

 

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata kerjasama antara SME Bank, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan enam rakan strategik itu diharap dapat membantu meningkatkan potensi golongan asnaf dalam sektor keusahawanan.

"Saya berpandangan sekiranya usahawan asnaf ini berjaya dibantu, pastinya mereka dapat membantu pula golongan asnaf yang lain di samping menjadi model atau contoh kepada asnaf lain untuk berjaya seperti mereka, insya-Allah," katanya pada majlis yang sama.

Beliau berkata, rata-rata usahawan asnaf yang dibantu itu mengusahakan produk berasaskan makanan, minuman, pakaian, peruncitan termasuk bengkel kereta sendiri dan pihak YaPEIM turut bertanggungjawab dalam membimbing usahawan asnaf berkenaan untuk memasarkan produk mereka secara strategik.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Ewon dan Mohd Na'im serta disaksikan oleh Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr Aria Putera Ismail.

Berita Harian Online, 21 March 2023
https://www.bharian.com.my/bisnes/usahawan/2023/03/1079829/sme-bank-itekad-ishraf-lahirkan-usahawan-golongan-asnaf