+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

SME Bank Lancar Skim Pembiayaan Vanigham Bagi Memperkasa Pertumbuhan PMKS

Kuala Lumpur | 25 Mac 2025

KUALA LUMPUR: 25 Mac 2025 – Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (“SME Bank”) hari ini mengumumkan peluncuran Skim Pembiayaan Vanigham (“VFS”), sebuah kemudahan pembiayaan baharu dengan peruntukan dana berjumlah RM50 juta yang dikhususkan untuk memperkasakan perusahaan kecil di Malaysia.

Pengenalan VFS selaras dengan strategi SME Bank untuk meningkatkan keterangkuman kewangan serta memastikan semua kumpulan usahawan mendapat peluang yang sama untuk mengembangkan perniagaan mereka. Skim pembiayaan ini bertujuan memberikan sokongan kewangan yang diperlukan bagi pemerolehan aset, kenderaan komersial dan modal kerja untuk membolehkan usahawan mengembangkan perniagaan mereka, memperluaskan pasaran dan meningkatkan daya saing.

YB Dato' Sri Ramanan Ramakrishnan, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (“KUSKOP”), menekankan peranan penting PMKS dalam pertumbuhan ekonomi negara. “KDNK Malaysia meningkat sebanyak 4.8% pada suku keempat 2024, dengan sumbangan PMKS sebanyak RM613.1 bilion pada tahun 2023. Tahun ini, PKS dijangka menyumbang 45% kepada KDNK dan 25% daripada jumlah eksport negara. Oleh itu, agensi-agensi kerajaan harus terus aktif untuk menyokong sektor ini, terutamanya dalam aspek pembiayaan seterusnya merangsang pertumbuhan PMKS. Pelancaran VFS oleh SME Bank adalah sejajar dengan agenda Kerajaan MADANI dalam memupuk keterangkuman, kepelbagaian dan ekosistem perniagaan yang mampan.”

“KUSKOP telah menggerakkan pelbagai inisiatif untuk memperkasakan sektor PMKS di seluruh negara merangkumi semua sektor melalui penawaran pembiayaan inovatif. Usaha ini, melalui pelbagai agensi Kerajaan seperti Tekun Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, Pernas, SME Corp dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia, telah berjaya menyalurkan kira-kira RM9.577 bilion kepada lebih 300,000 usahawan di seluruh negara dalam bentuk pembiayaan dan geran. Oleh itu, Kementerian menyokong usaha SME Bank dalam menyediakan akses kepada pembiayaan baharu yang lebih inklusif dan menyeluruh bagi memastikan setiap segmen perniagaan terus berkembang.”

Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan berkata, “Selaras dengan mandat pembangunan kami, kami menyedari kepentingan memastikan semua usahawan PMKS mendapat sokongan pembiayaan yang mencukupi bagi memajukan perniagaan mereka. Oleh itu, pelaksanaan VFS adalah bukti peranan kami dalam menyediakan pembiayaan yang disesuaikan kepada kumpulan sasaran tertentu seterusnya mengiktiraf usahawan kecil sebagai penyumbang utama yang melengkapi ekosistem PMKS secara keseluruhan serta sebagai salah satu tunjang utama dalam menggerakkan ekonomi Malaysia. Dengan pengenalan VFS, kami berharap dapat menggalakkan lebih banyak penyertaan perniagaan yang inovatif serta merangsang keusahawanan strategik di seluruh Malaysia.”

VFS ialah skim pembiayaan RM50 juta yang menawarkan pembiayaan dari RM100,000 hingga RM300,000 bagi pembelian mesin, kenderaan komersial dan modal kerja dengan subsidi kadar keuntungan daripada Kerajaan. Permohonan VFS dibuka sehingga 31 Disember 2027, memberikan peluang penting kepada usahawan untuk berkembang dan memperluaskan perniagaan mereka.

Pelancaran VFS telah disempurnakan oleh YB Dato' Sri Ramanan Ramakrishnan, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (“KUSKOP”) serta dihadiri oleh Dato’ Sri Khairul Dzaimee bin Daud, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (“KUSKOP”), Dato’ Muslim Hussain, Pengerusi SME Bank dan Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank.

VFS bukan sahaja menyediakan pembiayaan secara langsung tetapi juga melengkapkan inisiatif utama yang diterajui kerajaan di bawah Bajet Nasional 2025 kerana ia sejajar dengan program utama SME Bank, seperti Program Jaguh Serantau dan Program Pembiayaan HalalBiz.

Dalam meneruskan peranan SME Bank sebagai pemacu pembangunan usahawan, SME Bank terus diberi kepercayaan oleh Kerajaan dalam Bajet Nasional 2025 dengan lebih RM1 bilion untuk program baharu dan sedia ada, memberi tumpuan kepada keterangkuman kewangan untuk PMKS dalam sektor strategik utama seperti Bumiputera, Teknologi, Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (“ESG”), Halal dan Pelancongan.

25/03/2025 7:11