SME Bank Bawa 11 PKS Malaysia Raih Peluang Eksport RM140 Juta Di Gulfood Dubai 2025
KUALA LUMPUR: 27 Februari 2025 – Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (“SME Bank”) terus memperkasakan ekosistem PKS dengan membawa 11 syarikat tempatan ke pentas antarabangsa, merekodkan potensi jualan eksport berjumlah RM140 juta di Gulfood Dubai, Emiriah Arab Bersatu(“UAE”) baru-baru ini. Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut SME Bank menyertai pameran perdagangan makanan dan minuman terbesar di dunia, yang berfungsi sebagai platform strategik bagi usahawan meneroka peluang baharu serta mengembangkan pasaran mereka ke peringkat global.
Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, berkata, “Sejak penyertaan pertama kami dalam Gulfood pada 2023, SME Bank telah berjaya membawa 33 syarikat Malaysia ke peringkat antarabangsa dengan mencatatkan potensi jualan eksport melebihi RM378 juta. Menerusi inisiatif Export Acceleration Mission (“EAM”), kami memperkasakan perniagaan tempatan melalui Business Exports Programme (“BEP”), sebuah inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (“KUSKOP”). Dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (“MATRADE”), inisiatif ini juga mengukuhkan kehadiran usahawan Malaysia di pasaran antarabangsa dan membuka lebih banyak peluang eksport.”
Acara selama seminggu itu juga menyaksikan World Prominence Sdn Bhd, salah satu syarikat di bawah inisiatif BEP telah memeterai Memorandum Persefahaman ("MoU") dengan Senior Global LLC, UAE. Di samping itu, dua syarikat melancarkan inovasi produk terbaharu mereka, dengan Nims Adeliciousz Sdn Bhd memperkenalkan inovasi produk terbaharunya, termasuk Nims Cereal, Nims Choco Sauce, Nims Spread, Nims Liquid Chocolate dan Nims Beverage Choco Drinks. Sementara itu, BS Fitness Nutrition Sdn Bhd melancarkan inovasi terbaharu mereka – BS Protein Cookies, produk yang bukan sahaja berkhasiat tetapi juga lazat untuk menyokong kesihatan dan kecergasan.
Gulfood 2025 menyediakan platform dinamik untuk PKS Malaysia berhubung dengan pembeli, pengedar dan pelabur antarabangsa. SME Bank telah memanfaatkan peluang ini untuk membantu PKS Malaysia untuk membantu syarikat tempatan mempamerkan produk unik mereka serta meneroka pasaran global dengan lebih meluas.
Syarikat-syarikat yang mengambil bahagian ini mewakili sektor F&B Malaysia yang dinamik, salah satu pemacu utama ekonomi negara dengan potensi eksport yang kukuh. Sektor ini menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara dan terus berkembang maju, didorong oleh peningkatan permintaan global untuk produk yang diperakui halal dan berkualiti tinggi. Melalui platform seperti Gulfood, PKS Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk meluaskan jaringan antarabangsa mereka dan memanfaatkan peluang pasaran baru.
Selaras dengan mandat SME Bank, SME Bank terus memberikan sokongan kepada PKS tempatan untuk memperluaskan kedudukan mereka di peringkat antarabangsa melalui pelbagai inisiatif yang merangkumi pembiayaan dan sokongan melangkaui pembiayaan. Ini termasuk beberapa program yang diamanahkan kepada SME Bank dalam Belanjawan Negara 2025 seperti Program Jaguh Serantau dan Pembiayaan HalalBiz. Sebagai pelengkap, Program Pembangunan Vendor dan Program Pembangunan Keusahawanan Halal Bank juga telah memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan PKS dalam sektor-sektor strategik utama ini.
Sejak penubuhannya pada tahun 2005, SME Bank telah memberikan bantuan kewangan berjumlah RM48 bilion, yang memberi manfaat kepada hampir 25,000 usahawan. Sebagai satu-satunya Institusi Kewangan Pembangunan di negara ini khusus untuk membina kapasiti, Centre for Entrepreneur Development and Research (“CEDAR”), SME Bank juga telah membantu lebih daripada 85,000 usahawan dalam perjalanan pertumbuhan mereka.