+603 2603 7700
EN BM

SME Bank Bimbing Lebih Ramai Usahawan Asnaf Melalui Program ISHRAF 2.0

KUALA LUMPUR : 25 November 2021

Program Keusahawanan Asnaf atau ISHRAF, sebuah program khusus pembangunan usahawan Asnaf oleh SME Bank dengan rakan strategiknya kini diperbesarkan dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang akan melibatkan usahawan Asnaf dari enam buah negeri iaitu Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Program ISHRAF ialah satu inisiatif pembangunan usahawan Asnaf bersaiz mikro dan kecil yang akan membolehkan mereka meningkatkan kemahiran dan kebolehan mereka untuk mengembangkan, mengembangkan dan mengekalkan perniagaan mereka dengan menggunakan teknologi digital. Selain itu, seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama dan konsep Keluarga Malaysia mereka juga disasarkan untuk keluar daripada kategori penerima zakat kepada pembayar zakat.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Tan Sri Noh Hj Omar berkata, “Melihat kepada kejayaan peserta Program ISHRAF 1.0 di mana 20 orang peserta telah berjaya mencatatkan jumlah jualan terkumpul sebanyak lebih RM1.35 juta bagi tempoh satu tahun menyertai program ini; ISHRAF 2.0 diluaskan skopnya dengan penyertaan daripada 79 orang usahawan Asnaf dari hampir seluruh negara agar lebih ramai mendapat manfaat daripada program ini.”

“Pelaksanaan Program ISHRAF 2.0 melalui kerjasama antara YaPEIM dan SME Bank diharap dapat meningkatkan bilangan usahawan yang berkualiti, berdaya saing dan berinovatif,” kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Tuan Haji Idris Haji Ahmad. Mengulas lanjut katanya, “Sebelum ini YaPEIM melalui Bahagian Pembangunan Usahawannya aktif dalam membantu para usahawan khususnya mereka yang berstatus asnaf dengan mewujudkan Inisiatif Khas yang dikenali sebagai Inspirasipreneur Dream sebagai salah satu komponen utama di bawah Program Inspirasipreneur YaPEIM yang mana seramai 4,232 usahawan telah dibantu dengan sasaran keseluruhan 8,600 orang usahawan akan dibantu. Dengan pemeteraian MoU ini diharap menjadi batu loncatan kepada semua pihak terutama usahawan Asnaf menambah baik perniagaan masing-masing seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka.”

Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif, SME Bank berkata, “SME Bank telah menyediakan dana zakat berjumlah RM600 ribu, manakala SME Corp. Malaysia (SME Corp.) turut menyokong program ini dengan menyediakan dana tambahan sebanyak RM190 ribu, menjadikan jumlah keseluruhan dana yang akan diagihkan kepada peserta program ISHRAF 2.0 adalah sebanyak RM790 ribu. Selain daripada mengikuti program latihan dan bimbingan yang komprehensif, setiap peserta akan diberi RM10 ribu untuk digunakan bagi tujuan pembangunan perniagaan.”

Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR) telah dilantik sebagai pembimbing perniagaan yang akan menyediakan latihan dan memantau perkembangan peserta sepanjang program. Topik latihan keusahawanan yang akan dipelajari oleh para peserta termasuk Strategi Pemasaran dan Penjualan, Kemahiran Pendigitalan, Pengurusan Kewangan, Proses & Operasi serta Pengurusan Modal Insan. Antara penunjuk prestasi utama yang perlu dicapai peserta termasuk peningkatan jualan, penambahan pekerja dan produk/perkhidmatan baharu serta adaptasi teknologi.

Program ISHRAF telah memenangi Anugerah Merit bagi Projek Pembangunan Cemerlang daripada Association of Development Financing Institutions in Asia and the Pacific (ADFIAP) sewaktu mesyuarat tahunan ke-44 yang berlangsung pada bulan Oktober 2021.

Majlis pelancaran Program ISHRAF 2.0 dan Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Bank dan YaPEIM yang berlangsung pada hari ini telah disempurnakan oleh YB Tan Sri Noh Hj Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan YB Senator Tuan Haji Idris Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta wakil daripada rakan strategik Program ISHRAF.