+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

SME Bank Tawar Penangguhan Sementara kepada Pelanggan yang Terjejas Akibat Penularan Wabak Novel Coronavirus

KUALA LUMPUR : 6 Februari 2020

Sebagai respons terhadap penularan wabak novel coronavirus, pelanggan SME Bank yang terjejas diminta untuk berhubung dengan pegawai SME Bank bagi memohon penangguhan sementara komitmen pembiayaan mereka dengan pihak Bank. 

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, “Sebagai peneraju Institusi Kewangan Pembangunan dalam sektor PKS, ini adalah sebahagian daripada inisiatif SME Bank bagi membantu mengurangkan beban kewangan dan memastikan operasi perniagaan pelanggan kami yang terjejas akibat penularan wabak ini dapat berjalan seperti biasa.”

Aria menambah, “Kami sedar terdapat ramai usahawan PKS tempatan terutamanya dalam industri pelancongan, pembuatan dan perkhidmatan yang bergantung kepada jualan dan bekalan dari China dan penutupan bandar yang dilakukan oleh kerajaan China telah antara lain menyebabkan penurunan ketara jumlah pelancong. Langkah ini telah memberi kesan sama ada secara langsung dan tidak langsung kepada operasi perniagaan usahawan-usahawan tempatan. Dengan adanya penangguhan sementara ini, pelanggan kami yang terkesan akan dapat menguruskan kewangan mereka dengan baik dan seterusnya memastikan kelangsungan perniagaan mereka.”

SME Bank, sebuah agensi di bawah naungan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) terus komited dalam menyokong usahawan PKS terutamanya pada waktu yang sukar ini. Walaupun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, mandat SME Bank untuk memupuk dan membangunkan PKS terus menjadi fokus kami dan pelbagai usaha sokongan telah diambil untuk memastikan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan seperti yang terkandung dalam DKN 2030 dapat dicapai.

Usahawan PKS yang merupakan pelanggan Bank yang terjejas dengan wabak ini boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank di 03 - 2603 7700 atau kunjungi cawangan mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan yang ditawarkan.

07/02/2020 1:59