+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

Penarafan AAA oleh MARC Kukuhkan Kedudukan SME Bank

KUALA LUMPUR : 4 September 2019

SME Bank baru-baru ini telah menerima penarafan AAA dengan tinjauan stabil daripada Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC). Pengiktirafan ini mengesahkan peranan yang dimainkan oleh SME Bank dalam memupuk dan membangunkan PKS seiring dengan pemerkasaan agenda sosio-ekonomi Kerajaan yang sejajar dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN 2030).

Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, dalam satu kenyataan berkata, "Dengan jumlah sumbangan pembiayaan DFI sebanyak 44.2% kepada PKS, ianya telah mengukuhkan kedudukan SME Bank sebagai pemain utama dalam pasaran. Pihak Bank terus menjalankan pelbagai program untuk merapatkan jurang usahawan PKS yang tidak mendapat pembiayaan atau kurang mendapat pembiayaan.  Strategi ini telah dapat memastikan para usahawan yang layak tidak terlepas untuk mendapat sokongan bagi mengembangkan perniagaan mereka.  Sehingga kini, SME Bank telah meluluskan pembiayaan bernilai RM30 bilion kepada lebih 17,000 PKS."

Aria menambah, "Kerajaan menaruh harapan yang tinggi terhadap masa hadapan PKS di Malaysia.  Ini dapat dilihat dalam DKN 2030, di mana banyak inisiatif akan dilaksanakan bagi memperkasakan PKS terutamanya golongan B40.  Menjadikan ini sebagai aspirasi kami, dan dengan sokongan penuh dari Kerajaan, SME Bank akan terus meningkatkan dan memainkan peranan yang ‘menjangkaui pembiayaan' untuk PKS di seluruh negara."

Tambah Aria lagi, "Pihak Bank telah diberikan mandat untuk menerajui inisiatif Platform Digital PKS Kebangsaan, penggerak perubahan untuk usahawan PKS. Platform ini memberi penanda aras yang jelas terhadap segmen sasaran dan agensi-agensi yang menyokongnya, mewujudkan sinergi antara pemain dalam ekosistem PKS dan mengubah cara perniagaan dibantu.  Secara ringkasnya, Platform Digital PKS Kebangsaan menggunakan konsep Nilai Hayat PKS (SLV) untuk memantau rekod prestasi pembiayaan dan memberi petunjuk kepada kemajuan setiap PKS bagi menentukan kesediaan usahawan untuk ke tahap yang lebih tinggi. Melalui cara ini kita dapat mencipta juara di setiap peringkat perniagaan.”

Bagi merealisasikan matlamat utama DKN 2030 untuk menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan menjelang 2030, SME Bank melalui anak syarikatnya, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) telah menyusun semula fungsinya untuk memastikan usahawan PKS yang menjalani program latihan dan bimbingan dilengkapi dengan pemikiran, pengetahuan dan kemahiran yang betul dalam mengurus, melestarikan dan mengembangkan perniagaan mereka di dalam dan luar negara.

Secara keseluruhan, dengan penarafan AAA yang diterima daripada MARC dan hala tuju baharu yang dijalankan oleh kepimpinan SME Bank, masa hadapan PKS Malaysia dijangka menjadi sangat positif di dalam usaha untuk menjadi penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negara.

SME Bank adalah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED).

04/09/2019 2:44