SME Bank Pacu Keupayaan Kewangan Dan Digital Usahawan Melalui Kerjasama Strategik Bersama CDC International
KUALA LUMPUR: 3 Mac 2025 – Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (“SME Bank”) telah memeterai kerjasama strategik dengan CDC International Sdn. Bhd. (“CDCi”) melalui Memorandum Persefahaman (“MoU”) bagi memperluaskan akses kewangan serta penyelesaian digital untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (“PMKS”) di Malaysia. Selain itu, kerjasama ini turut merangkumi inisiatif pembangunan keupayaan secara menyeluruh melalui anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development & Research (“CEDAR”). Inisiatif ini menegaskan komitmen SME Bank dalam memperkasa keupayaan digital dan kewangan PMKS, mengiktiraf peranan penting mereka sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia.
Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, berkata, “Kami berbesar hati menjalinkan kerjasama dengan CDCi sebagai rakan kongsi kami, mencerminkan komitmen kami untuk membantu PKS tempatan meningkatkan dan memajukan aspirasi mereka. Sejak 2021, platform digital kami, termasuk ELSA, ScoreXcess dan ODELA telah menyokong hampir 5,000 PKS merentas sektor utama. Kerjasama ini memberi penekanan kepada pemudahcara akses pasaran dan pembangunan perniagaan melalui CDC Speed, sebuah platform perolehan digital yang menghubungkan pembekal PKS dengan pembeli besar daripada sektor awam dan swasta. Ini adalah selaras dengan komitmen kami untuk membina ekosistem digital yang kukuh serta menyokong rangka kerja MADANI Kerajaan, yang memberi keutamaan kepada ekonomi digital sebagai pemacu utama pertumbuhan."
“Sejajar dengan mandat pembangunan kami, fokus akan terus diberikan kepada sektor-sektor strategik utama, termasuk segmen Teknologi dan Digital melalui program inovatif seperti SME Technology Transformation Fund (“STTF”) seperti yang diamanahkan dalam Belanjawan Negara 2025. Sementara itu, latihan, pensijilan dan pembinaan kapasiti akan digerakkan melalui anak syarikat kami, Centre for Entrepreneurial Development & Research ("CEDAR") menerusi program pembangunan keusahawanan yang melangkaui pembiayaan.
“Saya yakin kepakaran kolektif antara SME Bank dan CDCi bukan sahaja akan mengintegrasikan aspek kewangan dan teknologi tetapi juga dapat membina ekosistem yang kukuh menerusi inisiatif pembangunan keupayaan yang berkesan. Ini akan memastikan PMKS mampu berkembang maju dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar dan berdaya saing,” jelas Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim.
Putri Nurul Ida Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif CDCi berkata, "Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan SME Bank, salah satu institusi kewangan pembangunan terkemuka di Malaysia. Kerjasama strategik ini menandakan kemajuan penting dalam ekosistem PKS dengan menggabungkan kepakaran kewangan SME Bank dan inovasi platform perolehan digital SPEED oleh CDCi . Melalui SPEED, kami bukan sekadar memudahkan transaksi, tetapi turut mengubah akses pasaran dengan membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (“PMKS”) berhubung terus dengan pembeli berskala besar dalam sektor awam dan swasta. Inisiatif ini bakal mempercepatkan pertumbuhan perniagaan, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, dan mengukuhkan daya saing PMKS dalam landskap ekonomi Malaysia yang semakin berkembang.”
“Dengan mengintegrasikan penyelesaian digital kami bersama infrastruktur kewangan kukuh SME Bank, kami berhasrat untuk membuka peluang pertumbuhan baharu dan mempercepatkan transformasi digital PMKS, selaras dengan aspirasi Kerajaan Malaysia ke arah persekitaran perniagaan yang lebih berdaya saing dan berasaskan teknologi. Kami yakin kerjasama ini akan memberi impak yang berpanjangan dengan memperluaskan akses kewangan, memupuk inovasi, serta membekalkan usahawan dengan sumber yang diperlukan untuk berjaya dalam ekonomi yang semakin maju ini,” tambah Putri Nurul Ida Yahya.
CDCi ialah penyedia penyelesaian perolehan digital yang memacu kecekapan dan inovasi dalam transaksi B2B. Dengan fokus terhadap pendigitalan, pengurusan vendor, dan perolehan eWorks, CDCi memperkasa perniagaan serta agensi kerajaan dengan platform berasaskan teknologi yang selamat, berskala, dan lancar. Komitmen terhadap inovasi, kebolehpercayaan, dan penyelesaian berorientasikan pelanggan menjadikan CDCi sebagai rakan yang dipercayai dalam transformasi digital.
Kerjasama strategik ini mengukuhkan usaha transformasi digital SME Bank yang berterusan dalam mempertingkatkan sokongan kepada PMKS di pelbagai peringkat pertumbuhan. Sehingga kini, lebih 3,000 PMKS telah mendapat manfaat daripada Enterprise Lifecycle Scoring Assessment (“ELSA”), sebuah alat penilaian berstruktur berasaskan data yang membantu membimbing PMKS dalam kitaran pembangunan mereka merentasi pelbagai saiz, sektor dan peringkat perniagaan. Selain itu, ELSA turut meraih pengiktirafan berprestij dalam kategori Pembangunan Teknologi di Anugerah ADFIAP 2025, yang dianjurkan oleh Association of Development Financing Institutions in Asia and the Pacific (“ADFIAP”). Melengkapkan inisiatif ini, portal ScoreXcess SME Bank mempermudahkan akses pembiayaan dengan memadankan keperluan perniagaan dengan peluang pembiayaan yang sesuai, manakala platform ODELA mentransformasikan landskap perniagaan kepada perniagaan (“B2B”) menerusi ekosistem e-dagang yang sistematik dan informatif.