SME Bank Giat Promosi Skim Jaminan Kerajaan Sedia Akses Pembiayaan Untuk Usahawan PKS
Mandat yang dijalankan oleh SME Bank untuk memupuk dan membangunkan usahawan PKS negara mendapat pengiktirafan yang sewajarnya apabila Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) memberikan Anugerah Khas kepada SME Bank baru-baru ini.
Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), ini merupakan kali ketiga SME Bank menerima pengiktirafan dari SJPP. YB Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, Menteri MEDAC berkata, “SME Bank, sebagai pemain utama dalam menyediakan pembiayaan PKS telah meluluskan pembiayaan di bawah skim ini sebanyak hampir RM190 juta untuk 195 buah syarikat PKS pada tahun 2019. Inisiatif ini telah menyokong hasrat kerajaan untuk mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk sektor PKS dan merangsang pertumbuhan sektor itu seperti yang termaktub di dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 serta Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.”
Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, “Tahun 2019 merupakan tahun di mana SME Bank bergerak dengan lebih agresif dalam usaha menyediakan akses pembiayaan kepada usahawan PKS negara. Sebanyak 14 sesi program outreach telah diadakan pada tahun lalu yang memanfaatkan lebih 1200 orang usahawan PKS. SME Bank turut melancarkan dua inisiatif di bawah Platform Digital PKS Kebangsaan iaitu ScoreXcess, sebuah portal sehenti untuk usahawan PKS mendapatkan pembiayaan mikro dan kecil dari agensi-agensi yang berdaftar dan juga ODELA, platform e-dagang khusus untuk perniagaan ke perniagaan (B2B).”
Selain menggunakan pendekatan digital, inisiatif pembangunan usahawan SME Bank seperti Program Upward Migration berjaya merekodkan 576 peningkatan dalam aspek jualan, peningkatan jumlah pekerja, adaptasi teknologi serta berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) juga telah menganjurkan 126 sesi latihan keusahawanan yang melibatkan lebih 2,000 orang usahawan.
Anugerah Khas ini telah disampaikan oleh YB Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan di Majlis Pelancaran Belanjawan 2020: Skim Jaminan Kerajaan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana oleh SJPP di Kuala Lumpur.
Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank (dua dari kiri) menerima Anugerah Khas dari YB Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan Malaysia.